Skip to main
Logo Malaysiakini

Hukuman mati mandatori: Terima kasih k'jaan sebab teruskan usaha PH - MP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin secara sinis menyuarakan penghargaan terhadap keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, satu usaha yang dimulakan pentadbiran PH.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan sekarang, yang setuju untuk menerima dapatan daripada jawatankuasa berkaitan yang dahulunya diketuai bekas ketua hakim negara Richard Malanjum, yang ditubuhkan oleh kerajaan PH dan Warisan sebelum ini.

"Secara ringkasnya, suka atau tidak, kerajaan 'tanpa mandat' sekarang perlu menerima hakikat bahawa 'PH memimpin, BN dan PN hanya mengikut'," katanya.

Mengulas mengenai pengumuman itu, Hanipa yang juga seorang peguam berkata memang sepatutnya memberi ruang untuk hakim menggunakan kuasa budi bicara dalam menetapkan hukuman.

"Hukuman mati mandatori bukan undang-undang yang bagus. Ia membawa lebih banyak kerosakan berbanding manfaat. Keburukannya melangkaui kelebihannya.

"Isu ini juga menggambarkan salah satu daripada pencapaian positif yang dibawa kerajaan PH dan Warisan yang menerima mandat rakyat," katanya lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajan membuat keputusan itu setelah laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan di mesyuarat Kabinet minggu ini.

"Jemaah menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah," katanya.

Peruntukan hukuman mati mandatori bermakna hakim tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah yang disabitkan untuk kesalahan tertentu, kecuali jika dia mengalami masalah mental.

Pada masa ini, terdapat 11 kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman itu. Ia termasuk kesalahan membunuh dengan niat, mengedar dadah dan memiliki senjata api.

R Sivarasa

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Subang Jaya R Sivarasa berkata pemansuhan hukuman itu seharusnya turut terpakai kepada kes-kes yang telah diputuskan sebelum ini.

Mengalu-alukan pengumuman Wan Junaidi, Sivarasa berkata pemansuhan tidak dapat diterima jika ia tidak terpakai kepada kes yang sedang dibicarakan.

"Ini bukan tentang meningkatkan hukuman terhadap kesalahan tertentu...Kita berdepan dengan pembaharuan yang membawa kepada hukuman lebih ringan, di mana hukuman mati mandatori akan dimansuhkan dan hakim diberi kuasa budi bicara penuh untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

"Ada kemungkinan hakim berpandangan hukuman mati tidak sesuai dalam keadaan tertentu dan menimbang penjara seumur hidup atau hukuman lain. Kes-kes ini perlu disemak semula menerusi mekanisme yang sesuai dan keputusan perlu dibuat sama ada untuk mengekalkan hukuman mati atau tidak," katanya yang juga seorang peguam.

Katanya, mekanisme sedia ada yang terbaik adalah proses rayuan.

"Tidak perlu wujudkan mekanisme bari. Semua pesalah yang berdepan hukuman mati mandatori perlu dibenarkan memfailkan rayuan baru dan mekanisme ini boleh digunakan sama ada hukuman mati perlu kekal atau hukuman lebih ringan dikenakan," katanya.

Membangkitkan usaha itu dimulakan kerajaan PH sebelum ini, dia turut berkata Wan Junaidi tidak memberi penjelasan berhubung pesalah yang kini menunggu hukuman mati dijatuhkan terhadap mereka.