EU sambut baik langkah Malaysia mansuh hukuman mati mandatori
Kesatuan Eropah (EU) menyambut baik langkah Malaysia untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan menyifatkan ia sebagai langkah penting ke arah penamatan sepenuhnya hukuman mati selari dengan trend dunia.
Jurucakap EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Nabila Massrali berkata EU menantikan transformasi segera keputusan itu kepada undang-undang oleh kerajaan Malaysia.
Beliau berkata EU bersedia menyokong Malaysia dalam usahanya untuk menghapuskan sepenuhnya hukuman mati.
“Secara dasarnya, EU menentang keras hukuman mati pada setiap masa dan dalam apa jua keadaan.
“Hukuman mati melanggar hak untuk hidup dan merupakan hukuman paling kejam, tidak berperikemanusiaan, yang gagal bertindak sebagai penghalang kepada jenayah dan mewakili penafian yang tidak boleh diterima terhadap maruah dan integriti manusia,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang EU pada Sabtu.
Menurutnya, EU akan terus berusaha untuk memansuhkan hukuman mati di beberapa negara yang masih melaksanakannya.
Malaysia pada Jumaat bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan menggantikannya dengan hukuman lain yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Menurut Kerajaan Malaysia kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai