Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat kejadian lelaki mengamuk di tengah lebuh raya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki dipercayai mengamuk selepas memberhentikan kenderaan di lorong kanan Kilometer 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kuala Kangsar petang tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid (gambar, bawah) berkata pihaknya menerima laporan daripada pemandu kenderaan yang berada di lokasi kejadian pada kira-kira 7.12 petang şemalam.

"Laporan polis dibuat oleh lelaki itu di Ipoh namun siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

"Suspek dan semua saksi kejadian akan dikesan untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan halangan di jalan awam.

Terdahulu, tular gambar seorang lelaki berdiri di lorong kanan lebuh raya itu dimuat naik oleh pengguna media sosial yang mendakwa suspek memberhentikan kereta sebelum keluar dan mengamuk sambil memegang rantai emas serta memanjat kereta berdekatan selain menendang kereta pengguna lebuh raya yang lain.

- Bernama