Skip to main
Logo Malaysiakini

Hukuman mati masih wujud dalam perundangan Malaysia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hukuman mati masih wujud dalam perundangan Malaysia walaupun kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori pada 8 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman gantian yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

"Sekarang secara prinsipnya kerajaan bersetuju pada 8 Jun bila Jemaah Menteri bersetuju, maknanya prinsipnya kerajaan tidak akan melaksanakan hukuman mati mandatori tetapi di mahkamah sana masih.

"Undang-undang itu ‘governed by existing law’ (undang-undang sedia ada yang belum dipinda)," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata hukuman mati mandatori merujuk kepada peruntukan-peruntukan kesalahan jenayah iaitu tertuduh yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati tanpa sebarang pengecualian kerana hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh apabila disabit dengan kesalahan contohnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wan Junaidi berkata hukuman mati dengan kuasa budi bicara mahkamah pula membawa maksud bagi mana-mana tertuduh disabit dengan kesalahan, hakim boleh mempunyai pilihan menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau sebatan.

"Ia mengikut budi bicara hakim bergantung kepada jenis, keseriusan suatu jenayah dan trend hukuman, keadaan mangsa, kerjasama dan keinsafan pesalah dan faktor pengurangan hukuman lain yang memihak kepada pesalah," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang diketuai mantan Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum mengemukakan cadangan polisi penghukuman baharu berdasarkan tiga prinsip.

Bagi kesalahan yang menyebabkan kematian, hukuman mati atas budi bicara mahkamah dikekalkan; bagi kesalahan lain yang tidak menyebabkan kematian, hukuman mati tidak harus dijatuhkan oleh mahkamah manakala sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan oleh mahkamah, pesalah boleh dikenakan hukuman sebatan, katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu turut meneliti hukuman gantian terhadap 22 kesalahan di bawah akta-akta antaranya Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan Akta Penculikan 1961 (Akta 365).

Wan Junaidi berkata pindaan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan bagi bacaan pertama dan dijangkakan awal tahun depan sama ada Januari atau Februari, undang-undang itu dapat dimansuhkan secara realiti.

"Keputusan kerajaan ini adalah langkah berani mara ke hadapan supaya dilihat lebih berperikemanusiaan," katanya.

Beliau berkata kajian awam juga akan dijalankan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori itu dan sekiranya tentangan itu lebih hebat daripada yang bersetuju, perkara itu akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk membuat keputusan.

Menurut Wan Junaidi, ramai juga membincangkan mengenai implikasi pemansuhan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

Untuk itu, beliau menjelaskan bahawa Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak lagi memperuntukkan kesalahan dengan hukuman mati mandatori dan telah digantikan dengan hukuman dengan kuasa budi bicara mahkamah melalui Akta Dadah Berbahaya (pindaan) 2017 (Akta A1558) yang berkuat kuasa 15 Mac 2018.

Wan Junaidi berkata berkata kerajaan turut menerima dan mempertimbangkan syor-syor Jawatankuasa Khas berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di Malaysia.

Antaranya mewujudkan prosedur prapenghukuman, menubuhkan Majlis Penghukuman, membangunkan garis panduan penghukuman, menubuhkan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan keadilan restoratif.

Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara juga sedang mengkaji dan meneliti kebolehlaksanaan syor yang dikemukakan Jawatankuasa Khas untuk 1,342 banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah menerusi moratorium pelaksanaan hukuman mati.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas itu mencadangkan penubuhan Panel Khas yang terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

"Perkara ini perlu penelitian memandangkan ia menyentuh isu keperlembagaan," katanya sambil menambah moratorium pelaksanaan hukuman mati masih dikekalkan atau berkuat kuasa sehingga tindakan pemansuhan hukuman mati mandatori termasuk pindaan akta-akta berkaitan dilaksanakan.

Ditanya bila hukuman mati akan dimansuhkan di Malaysia, Wan Junaidi berkata beliau enggan membuat andaian berhubung perkara itu namun secara peribadi tidak bersetuju dengan hukuman mati sejak 1978 lagi ketika menuntut di universiti, kerana ketika itu dikatakan 30 peratus orang yang dihukum mati di Amerika Syarikat sebenarnya tidak bersalah.

- Bernama