Skip to main
Logo Malaysiakini

Mansuh hukuman mati mandatori: K'jaan kaji kesan pada kes dalam siasatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan sedang mengkaji sama ada rancangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori boleh dilaksanakan secara retroaktif bagi kes yang ketika ini dalam siasatan , menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi, yang bertanggungjawab bagi Parlimen dan Undang-undang, berkata pada masa ini terdapat 1,342 banduan yang hukuman mati ditangguhkan melalui moratorium.

Menurutnya, kerajaan juga perlu melihat kes yang kini dalam siasatan dan masih belum didakwa di mahkamah.

“Sekiranya siasatan selesai selepas undang-undang dipinda (untuk memansuhkan hukuman mati mandatori), di bawah versi undang-undang yang mana kita akan mendakwa mereka? Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri masih mengkaji perkara ini.

"Kedua, kita ada kes yang sudah dalam fasa perbicaraan. Peruntukan lama akan terpakai dalam kes ini. Kemudian, ada kes yang telah pun diputuskan oleh mahkamah (tetapi menunggu rayuan).

“Dan keempat, kes di mana pesalah telah habis proses rayuan. Ada yang diampunkan, tetapi ada juga yang dinafikan.

"Masih banyak isu yang perlu kita ambil kira dalam usaha ke arah pemansuhan hukuman mati mandatori. Jabatan Peguam Negara dan BHEUU sedang bekerjasama untuk menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang media di Putrajaya pagi ini.

Wan Junaidi mengadakan sidang media itu bagi menjelaskan keputusan dan rancangan kerajaan ke arah pemansuhan hukuman mati mandatori.

Menurut menteri itu, Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Richard Malanjum telah mengesyorkan penubuhan tribunal untuk mengkaji semula kes yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, kerajaan perlu mengkaji keperlembagaan tribunal seumpama itu terlebih dahulu.

“Pihak AGC dan BHEUU kena kaji perkara ini dengan teliti.

"Sebab ada kes yang sudah sampai ke Mahkamah Persekutuan. Jadi, di manakah letak fungsi tribunal ini untuk membuat kajian (ke atas kes yang telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi)?" katanya.

Di bawah sistem mahkamah jenayah negara, Mahkamah Persekutuan adalah pihak berkuasa tertinggi dan saluran terakhir dalam proses rayuan.

Menurut Wan Junaidi, dia juga menerima banyak cadangan lain termasuk mendapatkan pengampunan menyeluruh kepada semua banduan yang dijatuhkan hukuman mati.

Cadangan lain ialah memperkenalkan sistem 'Diyyat', atau 'duit darah', yang merupakan istilah dalam undang-undang Islam yang merujuk kepada hukuman atas dasar pampasan.

Wan Junaidi berkata dia akan mengadakan sesi perbincangan dengan jawatankuasa itu untuk membincangkan tribunal itu. Menteri itu juga bercadang untuk mendapatkan pendapat Ketua Hakim Negara mengenai isu tersebut.

Mengenai moratorium hukuman mati, Wan Junaidi berkata ia akan diteruskan selagi pemansuhan hukuman mati mandatori tidak diselesaikan.

Ditanya sama ada Malaysia akhirnya akan bergerak ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati, Wan Junaidi berkata dia tidak mahu mendahului kerajaan dalam perkara itu.

Menurutnya, kabinet belum membincangkannya. Bagaimanapun, dia berkata secara peribadi beliau berharap satu hari nanti Malaysia akan memansuhkan hukuman mati sepenuhnya.