Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan pemandu lori disyaki rogol pelajar OKU

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan sekolah menengah yang juga orang kurang upaya (OKU) pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 12 tengah malam semalam, membabitkan seorang pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran.

Menurutnya pada hari kerajaan ibu bapa mangsa mendapati pelajar terbabit tiada di rumah kira-kira jam 7.10 malam sebelum mangsa pulang kira-kira jam 7.50 malam.

Katanya mereka mengesyaki mangsa keluar bersiar-siar dengan memboceng motosikal kawan lelakinya.

"Mangsa seorang OKU masalah pembelajaran merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu itu dirogol oleh jirannya yang masih bujang berusia 20-an.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, untuk pemeriksaan dan rawatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Susulan itu Mohd Rosdi berkata, polis melakukan tangkapan terhadap suspek di Kampung Bunut Payung, Kota Bharu, kira-kira jam 8.30 malam, malam tadi.

"Suspek bekerja sebagai pemandu lori serta mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Ujian saringan awal dadah ke atas suspek juga dapati positif methamphetaminem," katanya.

Tambah Mohd Rosdi, suspek direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.