Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Mesyuarat bincang elak persaingan banyak penjuru hadapi BN’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perbincangan tidak rasmi antara Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan pemimpin parti politik lain bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 lebih berkisarkan mengelak persaingan banyak penjuru.

Menurut sumber dari Bersatu, perbincangan menjurus kepada persediaan menghadapi BN, agar keputusan tidak berulang seperti pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.

“Ia berkisar untuk mengelakkan persaingan banyak penjuru jika terpaksa menghadapi BN dalam PRU nanti agar keputusan seperti PRN Melaka dan PRN Johor tidak berulang akibat perpecahan di blok yang disaingi BN,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, sumber tersebut berkata dia tidak tahu intipati lebih lanjut mengenai perbincangan tidak rasmi tersebut, memandangkan dia tidak terlibat dalam perbincangan itu.

Keputusan PRN Melaka yang berlangsung pada 20 Nov lalu menyaksikan BN berjaya menawan negeri bandar bersejarah itu dengan menawan 21 daripada 28 kerusi DUN. PN hanya memenangi dua kerusi manakala Pakatan Harapan lima kerusi.

Sementara itu, BN menang besar pada PRN Johor yang diadakan pada 12 Mac lalu dengan menawan 40 kerusi DUN, PN mendapat tiga kerusi, PH pula sebanyak 12 kerusi dan Muda hanya memenangi satu kerusi DUN.

Semalam, Muhyiddin berkata dia telah memaklumkan rakan gabungan parti itu mengenai perbincangan tidak rasmi dengan parti politik lain bagi berdepan dengan PRU15.

Muhyiddin berkata majlis tertinggi PN dimaklumkan mengenai perkara itu semalam pada mesyuarat yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Star Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Yong Teck Lee, Presiden Gerakan Dominic Lau dan wakil komponen lain.

Sementara itu, Bernama hari ini memetik Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai berkata perbincangan berkaitan kedudukan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tidak dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, pada Rabu lalu.

Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata mesyuarat itu hanya membincangkan mengenai persiapan menghadapi PRU15 dan masalah dihadapi rakyat pada masa ini.

“Tidak ada bincang kedudukan perdana menteri. Kami menyokong perdana menteri sedia ada dan mahu kerajaan yang stabil supaya boleh fokus masalah rakyat dan bukannya masalah peribadi politik.

“Kami berbincang tentang persiapan menghadapi pilihan raya dan masalah kos sara hidup, masalah harga makanan tinggi dan cara mencari jalan bagaimana hendak membantu kerajaan menangani masalah rakyat,” katanya.

Dia mengulas laporan media yang memetik sumber mendedahkan antara perkara disebut dalam mesyuarat itu adalah Bersatu boleh menukar kerajaan Ismail Sabri tanpa mengadakan pilihan raya sekiranya mendapat sokongan Pejuang, Warisan dan PH.