Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: K'jaan akan perkenal harga siling bergerak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input adalah antara langkah yang akan diambil oleh kerajaan sebagai usaha menjamin sekuriti makanan negara, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata langkah itu seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Katanya kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga akan dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian.

“Ini untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata langkah itu adalah antara keputusan yang dicapai hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan beliau hari ini, dan menurutnya mesyuarat itu membincangkan tiga perkara utama yang berhubung kait dengan sekuriti makanan, memudahkan urusan perniagaan di Malaysia, serta menangani tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Perbincangan melibatkan pembentangan pihak Khazanah Research Institute (KRI), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) dan wakil-wakil industri.

Sementara itu Ismail Sabri berkata keputusan lain yang dipersetujui ialah usaha memperluaskan ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan diterajui oleh Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.

Koordinasi ini katanya bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

“Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya,” katanya.

Selain itu katanya kerajaan juga akan meningkatkan kerjasama awam dan swasta dengan memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan mengalakkan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian.

“Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf,” katanya.

Tambahnya bagi memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran, program ladang kontrak akan terus digalakkan di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.

Ismail Sabri berkata kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global untuk menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

- Bernama