Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganggur disyaki lakukan sumbang mahram dengan anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis Kelantan menahan seorang lelaki selepas menerima laporan berhubung dakwaan melakukan sumbang mahram dengan anak perempuan kandungnya.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Amran Dollah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari mangsa yang baru berusia 15 tahun berada di dalam biliknya apabila tiba-tiba didatangi suspek sekali gus memaksa dia melakukan hubungan seks.

Malah katanya mangsa juga menceritakan bagaimana dia telah dirogol ayah kandungnya sejak berusia 12 tahun lagi.

"Mangsa yang merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

"Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan lama pada selaput dara yang mungkin disebabkan oleh tusukan objek tumpul dan keras.

"Susulan itu, polis membuat tangkapan ke atas suspek berkait kes Seksyen 324 Kanun Keseksaan di Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu, Tumpat, kira-kira jam 3 petang semalam," jelasnya.

Mengulas lanjut Amran berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 57 tahun itu merupakan seorang penganggur dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

Jelasnya lagi, ujian saringan awal ke atas suspek didapati negatif.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan reman dibawah Seksyen 324 Kanun Kanun dan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga sehingga 15 Jun bagi membantu siasatan.

"Suspek akan ditangkap semula bersangkut kes sumbang mahram selepas selesai reman di bawah Seksyen 324, kes ini di siasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan sebat," katanya.