Skip to main
Logo Malaysiakini

Ambiga seru peguam berarak untuk kebebasan badan kehakiman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan sekali lagi menggesa semua peguam untuk menghadiri "Perarakan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman" yang berlangsung pada Jumaat ini (17 Jun) di Kuala Lumpur.

Ini berlaku di tengah-tengah dakwaan awal bulan lalu mengenai gangguan terhadap badan kehakiman.

“Panggil semua peguam! Bersedia untuk salah satu perjalanan paling penting dalam kerjaya anda.

“Berjalan untuk kebebasan badan kehakiman Jumaat ini (17 Jun) jam 10 pagi, Padang Merbok! Tolong tweet semula!” kata Ambiga menerusi Twitternya hari ini.

Pada awal Mei, sekumpulan bekas presiden Badan Peguam termasuk Ambiga menggesa satu lagi "perarakan untuk keadilan" diadaakn.

Mereka memulakan petisyen dalam talian yang menyeru Majlis Peguam untuk menganjurkan perarakan bagi menghantar mesej yang jelas kepada mereka yang "berusaha untuk campur tangan" dalam badan kehakiman.

Selain Ambiga, penganjur lain petisyen itu ialah bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Lim Chee Wee dan Steven Thiru.

Sudah melampaui batas

Penghujung April lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata kritikan terhadap badan kehakiman telah melampaui batas.

Ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berikutan catatan dari blog politik yang mendakwa dia mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Nazlan, ketika berkhidmat sebagai hakim mahkamah tinggi, telah mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Pada 2007, kira-kira 2,000 peguam di bawah pimpinan pengerusi Majlis Peguam ketika itu, Ambiga Sreenevasan, berarak menentang dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

Ini selepas rakaman audio bocor menunjukkan peguam VK Lingam bercakap mengenai campur tangan dalam proses pelantikan para hakim.

Suruhanjaya siasatan diraja mengesahkan kesahihan rakaman itu dan memberi tumpuan kepada keputusan penghakiman masa lalu yang boleh dipersoalkan.

Skandal itu akhirnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.