Skip to main
Logo Malaysiakini

SCIB perjelas anak syarikat dilantik subkontraktor projek DBKL

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) hari ini menjelaskan bahawa anak syarikatnya SCIB Properties Sdn Bhd (SCIBP) dilantik sebagai subkontraktor bagi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan berkaitan projek Penggantian Tiang Lampu Pintar Bersepadu untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh Ennova Sdn Bhd.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif SCIB Rosland Othman berkata skop kerja SCIBP termasuk namun tidak terhad kepada pembersihan tapak, penggalian dan struktur tapak konkrit bertetulang, meletakkan semua konkrit tetulang, bolt dan nat, dan plat pada semua struktur keluli lembut, dengan tiang, kelengkapan dan aksesori yang akan dibekalkan oleh Ennova.

“Skop ini juga termasuk kerja-kerja pagar perimeter berantai, pagar keluli lembut dan pembinaan; kerja tanah, meratakan, menetapkan, membuat titik, dan kerja lain yang berkaitan; kerja mekanikal dan kejuruteraan seperti pendawaian, kotak suis, penyambungan kepada konduit, kabel bumi tanah dan rem serta pemasangan monopole,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Rosland berkata Ennova akan menanggung semua kos pembinaan tiang itu termasuk sewa setiap tiang yang didirikan mengikut harga sewaan yang dipersetujui antara pihaknya dengan DBKL.

"Kami tidak mengetahui sebarang pembiayaan atau pengaturan pembiayaan untuk kontrak oleh DBKL," tambahnya.

Pada Ahad, DBKL menafikan melantik SCIB untuk menggantikan 200 tiang lampu di Lembah Klang seperti yang didakwa.

Kenyataan ini timbul susulan laporan bahawa kontrak bernilai RM30.75 juta telah diberikan kepada pembuat produk konkrit pratuang yang berpangkalan di Sarawak melalui Ennova untuk projek itu.

- Bernama