Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tarian Bon Odori di K'tan 2018 boleh, sekarang di S'gor tak boleh?'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adun DAP Banting Lau Weng San menyoal sikap tidak konsisten PAS yang membenarkan tarian Bon Odori di Kelantan empat tahun lalu dan kini menasihatkan umat Islam untuk tidak hadir festival tahunan kebudayaan Jepun itu di Selangor pada bulan depan.

"Mengapa kerajaan negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu membenarkan penganjuran program kebudayaan yang mengandungi tarian Bon Odori pada November 2018 tetapi pemimpinnya kini menimbulkan persoalan mengenai penganjuran Bon Odori di Shah Alam," soalnya pada satu kenyataan hari ini.

“Persoalan itu timbul di benak fikiran saya apabila saya menerima risalah daripada Japan Foundation, Kuala Lumpur (JFKL) bertarikh 29 Okt 2018, yang bertujuan mempromosikan Festival Kebudayaan Kelate, yang diadakan Dewan Jublil Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu pada Nov. 17, 2018.

“Dalam risalah berkenaan, festival itu dikatakan mempamerkan keunikan budaya antara Kelantan dan Jepun dengan persembahan kebudayaan popular Kelantan seperti Dikir Barat, Rebana Ubi, Gasing Terbang, Silat Tari dan lain-lain akan dipertontonkan manakala JKFL mengetengahkan persembahan kebudayaan Jepun," katanya.

Gambar fail, Adun DAP Banting Lau Weng San.

Selain tarian Bon Odori, Lau berkata acara itu juga menyajikan kraftangan tradisional Jepun berupa Patung Kokeshi, pembelajaran bahasa Jepun, kaligrafi, furoshiki (seni membalut kain), seni kertas origami dan kraf kertas kirigami 3D.

"Bukankah Kelantan pada 2018 masih diterajui PAS, dengan Menteri Besar Ahmad Yakob dan timbalannya Mohd Amar Abdullah bukan sahaja pemimpin utama dalam PAS tetapi juga memegang jawatan kanan dalam Majlis Syura dan kepimpinan PAS pusat?"

“Jadi, apa masalah PAS dengan penganjuran Bon Odori di Shah Alam, Selangor sedangkan tiada masalah untuk membenarkan program serupa berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 2018?

"Mengapa PAS bermasalah dengan penganjuran Bon Odori di Shah Alam sedangkan tiada masalah membenarkan acara serupa berlangsung di Kota Bharu pada 2018?"

Gambar fail.

“Saya menggesa pemimpin PAS baik dalam pimpinan PAS pusat mahupun PAS Selangor untuk menjelaskan tindakan mereka yang tidak istiqamah ini,” katanya.

Jika pemimpin PAS gagal berbuat demikian, Lau berkata boleh diandaikan tuduhan dan kata-kata oleh pemimpin PAS terhadap program Bon Odori adalah tidak tepat.

Sultan Selangor titah jangan sekat

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menimbulkan kontroversi susulan nasihatnya supaya umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung pada 16 Julai ini kerana didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Bagaimanapun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak bersetuju dengan pandangan Idris dan mencadangkan agar menteri itu supaya hadir sendiri ke program sambutan Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Titah baginda, ini supaya pemimpin PAS itu dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ahmad Yahya pada 10 Jun lalu berkata walaupun ada pihak berpandangan ia hanyalah acara kebudayaan Jepun, ia tetap tidak menyangkal bahawa ada unsur ritual Buddha di dalamnya.

Ahmad juga memaklumkan Dewan Ulamak PAS turut mencadangkan agar kerajaan Kelantan menggugurkan tarian Bon Odori sebagai acara dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022.

Acara itu berlangsung pada 4 Jun lalu dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah yang juga naib presiden PAS.

[Baca berita asal]