Skip to main
Logo Malaysiakini

PH rasa risau, marah 'rasuah menjadi-jadi'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyatakan rasa risau serta marah apabila meneliti berita kejadian rasuah yang semakin menjadi-jadi.

Pemimpin utama PH membangkitkan keterangan di mahkamah oleh bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan, merangkap ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), baru-baru ini.

"Berdasarkan laporan media, beliau menerima bayaran sehingga sebanyak RM30,000 sebulan walaupun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan.

"Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini beliau masih memegang jawatan ketua setiausaha negara," kata Majlis Presiden PH pada satu kenyataan bersama hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini antara lain melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak melantik Mohd Sidek Hassan (gambar, atas) sebagai ahli lembaga penasihat 1MDB kerana merasakan gaji bekas ketua setiausaha negara itu terlalu rendah.

Sementara itu, Majlis Presiden PH turut membangkitkan perkembangan berhubung dana diberikan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di antara SGD200,000 hingga SGD520,000 sebulan.

Ia didedahkan seorang bekas pengarah UKSB yang tampil sebagai saksi dalam perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid, baru-baru ini.

Majlis Presiden PH juga mengulas keterangan bekas pengarah itu yang mendakwa Khairy Jamaluddin melalui Umno Bahagian Rembau telah menerima di antara RM50,000 hingga RM200,000.

Gambar fail, Ahmad Zahid dan Khairy Jamaluddin.

"Kedua-dua kes ini amat merisaukan, bukan hanya kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam.

"Majlis Presiden PH mengulangi komitmen untuk memerangi rasuah.

"Oleh itu, beberapa reformasi dan tindakan tegas perlu dilaksana Kerajaan pada kadar segera termasuk rang undang-undang pendanaan politik serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah

Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen," tegas mereka.

Kenyataan Majlis Presiden PH hari ini ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Upko Madius Tangau.