‘Bila dapat RM100 masa PRU, jangan reda saja harga barang naik’
Presiden Amanah Mohamad Sabu memberi peringatan berhubung penderitaan rakyat berdepan kenaikan harga barangan keperluan semasa.
Malah katanya, rakyat hari ini mengamuk teruk kerana harga barang yang “mendera”.
Justeru dia mengingatkan pengundi agar tidak termakan sogokan apabila menjelang pilihan raya.
"Hari ini memanglah mengamuk sakan harga barang mendera.
"Nanti bila nak mengundi, dapat RM100 dari parti perasuah, jangan pula kata biarlah harga barang menyiksa kita pun," tegasnya dalam kenyataan ringkas di Facebook, hari ini.
Sementara itu Anggota Parlimen Gopeng Lee Boon mempersoalkan apakah individu (menteri) yang berada dalam barisan kabinet memahami ekonomi.
Tegasnya, jaminan bekalan makanan bergantung pada pengeluaran, sebaliknya bukan harga.
"Apabila pengeluaran dan bekalan meningkat, harga akan stabil. Peranan kerajaan adalah untuk menetapkan dasar untuk meningkatkan pengeluaran dan pengedaran makanan.
"Kerajaan harus hapuskan karenah birokrasi yang membebankan, menambah baik logistik dan pengangkutan, memastikan ketelusan harga dan menggalakkan pemodenan pengeluaran makanan seperti penternakan ayam, sayur-sayuran dan lain-lain," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga mesti mengumpul dan berkongsi pangkalan data nasional pengeluaran makanan domestik.
Memberikan contoh jelasnya, berapa banyak ayam dijangka dalam tempoh tiga tahun akan datang, berapa banyak sayur-sayuran yang akan dihasilkan, berapa banyak pengeluaran telur dan sebagainya untuk untuk membantu petani.
"Ini akan memastikan mengurangkan risiko ekonomi kepada petani, memastikan kestabilan harga dan mengelakkan pembaziran akibat pengeluaran berlebihan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai