Mak menabung untuk anak sejak kecil, umur 20-an dah ke Mekah
Wan Amier Ashraf Yamin, 21, dan kakaknya Wan Arina Azrinor Yamin, 29, hari ini bersyukur dengan penuh rasa insaf terhadap kesungguhan ibu mereka yang mula menabung dengan Tabung Haji sejak mereka kecil lagi, sehingga membolehkan mereka menunaikan ibadah haji pada usia muda.
Ibu mereka Sharifah Norkaya Shah Latif, 57, seorang pesara guru, mula menyimpan duit untuk mereka di Tabung Haji ketika Wan Arina Azrinor berumur lima tahun, manakala adik lelakinya pula beberapa bulan selepas dilahirkan pada 2001.
“Ibu buat persediaan lebih awal apabila membuat tabungan untuk kami di Tabung Haji melalui potongan gaji. Kami sangat berterima kasih kepada kedua ibu bapa kami. Ini adalah tanda kasih sayang mereka kerana sentiasa memikirkan masa depan kami,” kata Wan Arina Azrinor.
Kedua-dua mereka berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di Kota Kinabalu sejurus sebelum berlepas ke Kuala Lumpur malam tadi, untuk menyambung perjalanan seterusnya bagi menyahut panggilan baitullah.
Terdahulu kedua-dua adik beradik itu dihantar oleh ibu dan ayah mereka Yamin Ag Mahali, 57, ke Hotel Raia, dekat Kota Kinabalu , bagi menghadiri majlis meraikan keberangkatan kumpulan pertama jemaah haji Sabah bagi musim ini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Wan Arina Azrinor yang merupakan pelajar Sarjana Sains Akuakultur dari Universiti Malaysia Sabah berkata walaupun gementar, namun beliau cukup teruja serta gembira kerana dapat merealisasikan impian menjadi tetamu Allah dan mengerjakan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini dengan segala persiapan dibuat sejak sebulan lepas.
“Sebenarnya adik saya yang dapat tawaran, tetapi saya membuat rayuan untuk ikut (mengerjakan haji) bersama dengan dia kerana sebelum ini saya pernah mendapat tawaran tetapi memandangkan tiada mahram ketika itu, saya terpaksa menangguhkannya.
“Saya berasa gementar juga kerana biasanya jika ke mana-mana kami akan pergi bersama kedua ibu bapa, tetapi kali ini kami berdua sahaja tanpa mereka,” kata anak sulung dua beradik itu sambil berharap akan sentiasa diberikan kesihatan baik sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci dan mendapat haji mabrur.
Kedua-dua adik beradik itu merupakan sebahagian daripada 142 jemaah haji dari Sabah yang berlepas ke Kuala Lumpur malam tadi sebelum meneruskan penerbangan ke Tanah Suci.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai