Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayuan tambah kuota haji: Kita dah cuba, kata Idris

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia terus berharap akan ada sinar buat negara ini untuk menghantar lebih ramai jemaah haji selepas membuat rayuan kepada Riyadh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad berkata sehingga kini memang belum ada sebarang perkembangan dimaklumkan pihak kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan tersebut.

"Kita dah cuba, kita harapkan yang terbaik daripada mereka," katanya ringkas hari ini.

Naib Presiden PAS itu ditemui pada sidang media selepas dia menghadiri Multaqa Murabbi Ummah peringkat Pahang di Kuantan, hari ini.

Program dihadiri kira-kira 500 imam, guru takmir, guru pondok dan tahfiz serta penyelia Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) itu dirasmikan Exco Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pada April lalu Idris mengumumkan Riyadh memperuntukkan kuota seramai 14,306 orang jemaah dari Malaysia dan ia adalah lebih rendah berbanding kadar yang lazim diberikan kerajaan terbabit.

Kata Idris peratusan yang kecil itu terpakai kepada semua negara.

Pada 16 Mei pula Idris memberitahu kerajaan mengemukakan rayuan untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 5,000 jemaah lagi bagi Malaysia untuk menunaikan haji pada musim ini.

Untuk rekod jemaah haji Malaysia sudah mula diterbangkan sejak 31 Mei lalu, manakala penerbangan terakhir ke Tanah Suci ialah pada 2 Julai ini.

Sementara itu Idris yang juga ahli Dewan Negara memberitahu PAS menolak konsep 'khemah besar' kerana parti itu sentiasa mengutamakan penyatuan ummah sebagai agenda utama.

"Kita ini kalau ramai saja tapi berpecah, maka kita tidak ada kekuatan. Sebab itu kita tolak (khemah besar). Yang kita nak ialah penyatuan dalam kalangan orang Islam, orang bumiputera dan kalangan orang bukan Islam," katanya.

Idris juga menyatakan Muafakat Nasional (MN) masih wujud dan "berjalan seperti biasa" walaupun perbincangan membabitkan PAS dan Umno berlangsung hanya secara tidak formal.

"(MN) masih berjalan macam biasa, ada perbincangan secara tidak formal kerana kita tahu kalau kita berpecah, kita kalah," katanya.