Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki mengaku tidak bersalah cuba bunuh rakan sekampung

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh hingga menyebabkan kecederaan kepada rakan sekampungnya, pada kejadian 15 Mei lalu.

Tertuduh, Amri Faisa Sauti, 39, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang juga seorang buruh didakwa melakukan cubaan bunuh hingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd Zailuddin Hart, 50.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong, Bachok, kira-kira jam 8.45 malam, pada 15 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kerana Amri melakukan kesalahan serius dan pertuduhan itu juga tidak boleh dijamin.

Tertuduh memaklumkan bahawa dia tidak akan melantik peguam dan akan menjalani prosiding perbicaraan sendiri.

Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan dibenarkan dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.