Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM teliti maklumat dakwaan penyelewengan kes balak Kelantan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan kes kecurian balak dan penyelewengan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Pengarahnya Rosli Husain berkata pihaknya sedang meneliti maklumat bagi melihat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"SPRM Kelantan ada menerima maklumat dan sedang menliti maklumat bagi melihat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya jika agensi itu sedang melakukan sebarang siasatan berhubung pendedahan berkait kes berkenaan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pengerusi Save Kelantan Husam Musa melalui beberapa hantaran di media sosial sebelum ini mendakwa berlaku pembalakan di kompartmen 26 di HSK Nenggiri yang diwartakan sebagai hutan dara perlindungan namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn Bhd.

Dia turut mendakwa berlaku ‘kecurian’ balak di kawasan bersebelahan, iaitu kompartmen 25, yang melibatkan anggaran kerugian sehingga RM5 juta.

Bagaimanapun, Husam mendakwa, balak yang terletak di sebelah Matau Daulah Najah itu kini telah disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu Rosli menegaskan pihak SPRM Kelantan mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan rasuah dan salahguna kuasa dalam perkara tersebut.

"Kita mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan rasuah dan salahguna kuasa dalam perkara ini (perlu) disalurkan kepada SPRM Kelantan," jelasnya.