Skip to main
Logo Malaysiakini

Save Kelantan sebenarnya untuk 'save' Husam - Mohd Amar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kemunculan bekas naib presiden Amanah, Husam Musa, yang aktif melakukan pendedahan berkaitan pentadbiran kerajaan Kelantan dilihat lebih mempunyai agenda peribadi dan politik.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata kemunculan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save Kelantan oleh Husam itu sebenarnya bukanlah bertujuan untuk menyelamatkan negeri terbabit.

Sebaliknya kata Mohd Amar NGO berkenaan diwujudkan untuk menyelamatkan Husam.

"Kenapa munculnya Husam ini? Sebab dah dekat nak pilihan raya, dia nak bagitahu orang bahawa dia masih wujud lagi dan mungkin lepas ini mana-mana parti akan tawarkan dia bertanding di mana-mana," katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Tambah Mohd Amar Save Kelantan yang diketuai Husam itu kini menggunakan isu tertentu dengan memanipulasikan fakta agar dapat menaikkan imej bekas exco kanan berkenaan.

"Bagi saya Save Kelantan itu sebenarnya save Husam," katanya

Terdahulu Mohd Amar diminta mengulas berhubung siri pendedahan yang dibuat Husam dan Save Kelantan akhir-akhir ini termasuk isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri.

Menurutnya lagi, Husam melalui tulisan-tulisan di Facebook memanipulasikan fakta untuk agenda politik termasuk dengan mengaitkan exco kerajaan negeri dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kelantan, Daulah Najah Sdn Bhd dalam isu pembalakan.

Jelasnya, syarikat tersebut diberi kebenaran membalak oleh kerajaan untuk menyelesaikan bayaran lebuh raya yang bermula pada zaman Husam masih dalam kerajaan PAS dulu.

"Dia yang isytihar kerajaan negeri nak buat lebuh raya dan sudah bermula sebahagian kerja-kerja itu.

"Jadi nak bayar hutang syarikat itulah maka kerajaan menubuhkan Daulah Najah dan diberi konsesi balak dengan tujuan duit ini (hasil) diguna untuk bayaran kepada kontraktor.

"Sebab itu dalam Daulah Najah ada nama exco (selaku ahli lembaga pengarah) sebab ini GLC, bukan syarikat peribadi exco.

"Tapi cara Husam menulis seolah-olah ia syarikat individu. Dia manipulasikan fakta, bagi orang awam yang tak tahu apa-apa melihat exco terlibat dalam perniagaan, itu masalahnya," jelas Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan.