Mahkamah tolak petisyen BN cabar keputusan DUN Bukit Batu
Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen yang difailkan calon BN Suppayah Solaimuthu bagi mencabar keputusan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Johor.
Hakim Azizul Azmi Adnan memutuskan untuk menerima bantahan-dikemukakan oleh barisan peguam kepada Adun Bukit Batu, Chiong Sen Sern, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum akhirnya membatalkan petisyen tersebut.
Ketika dihubungi, peguam Chiong, G Manivanan, mengesahkan perkara tersebut.
"Barisan peguam yang mewakili Chiong mengemukakan bantahan-bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya tersebut atas alasan ketidakpatuhan yang serius terhadap undang-undang berkenaan dengan petisyen pilihan raya.
"Bantahan-bantahan awal telah dihujahkan pada 30 Mei lalu dan hari ini mahkamah memutuskan untuk membatalkan petisyen yang dikemukakan Suppayah," katanya.
Tambah Manivanan, mahkamah di Putrajaya itu juga memerintahkan supaya pempetisyen membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Chiong sebagai responden pertama dan RM30,000 lagi kepada SPR selaku responden kedua dan ketiga.
Untuk rekod, Presiden MIC SA Vigneswaran sebelum ini memberitahu BN akan mengemukakan petisyen bagi keputusan DUN Bukit Batu atas alasan undi rosak jauh lebih tinggi daripada majoriti yang diperolehi pemenangnya.
Menurut Vigneswaran, calon BN tewas dengan majoriti 137 undi sedangkan dia difahamkan undi rosak ada lebih 600.
Johor melangsungkan pilihan raya negeri pada 12 Mac. Bagi kerusi Bukit Batu Chiong dari PKR memperoleh 9,439 undi berbanding dengan Suppayah 9,302 undi.
Suppayah memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan tersebut pada 5 April lalu.
Selain Manivanan, Chiong diwakili peguam Adi Zulkarnian Zulkafli, Lau Yi Leong, Adly Zulfadhly Zulkefly dan Tan Wye Nye.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai