Skip to main
Logo Malaysiakini

Bon Odori: 'Tiada masalah antara Sultan Selangor dan PAS'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiada masalah antara Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan PAS, kata Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir.

Dia berkata demikian susulan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi yang mengadap Sultan Sharafuddin berhubung isu festival Bon Odori, semalam.

"Tuanku ingin tahu pendirian kita berkenaan festival Bon Odori.

"Tuanku memberikan pandangannya dan kami juga memaklumkan kami menghormati pandangan itu. Kami beritahu Tuanku pendirian kami dan paling penting, kami beritahu yang kami sokong sepenuhnya peranan istana dalam menyatukan rakyat.

"Kedua-dua pihak tiada masalah antara satu sama lain," katanya seperti dipetik New Straits Times semalam.

Menyatakan yang PAS Selangor setuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad yang menasihatkan orang Islam agar tidak menyertai festival itu, Roslan menegaskan parti itu tidak menggesa agar ia dibatalkan.

Katanya, PAS Selangor mempertahankan kenyataan Idris kerana ia hanyalah nasihat kepada umat Islam.

Menurut laporan semalam, pertemuan di Istana Bukit Kayangan itu berlangsung selama kira-kira sejam.

Perkembangan itu hadir selepas Ahmad Yunus pada 10 Jun mengingatkan umat Islam agar tidak mengambil bahagian dalam perayaan Bon Odori.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Agama Idris Ahmad memberitahu umat Islam supaya tidak menghadiri Bon Odori kerana mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meneliti Bon Odori dan percaya ia mempunyai unsur keagamaan lain.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan menteri itu dan meminta Idris menghadiri majlis berkenaan.