Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan stabil, pemimpin Umno berkepentingan yang tak stabil'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah melihat tidak timbul isu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak stabil sehingga memerlukan PRU15 disegerakan.

Sebaliknya Mohd Amar berkata, pihak yang tidak stabil adalah kalangan dalam Umno yang ada kepentingan peribadi.

"(Apa) Yang tak stabil sebenarnya orang-orang yang ada kepentingan dalam Umno. Itu yang tak stabil. Kerajaan sekarang Alhamdulillah stabil," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, semalam.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas perbahasan dalam kalangan pimpinan Umno yang berbeza pandangan dalam isu pelaksanan PRU15.

Terdahulu Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi dilaporkan membidas bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, yang juga menteri wilayah persekutuan, yang menolak gesaan agar PRU disegerakan atas sebab kerajaan yang ada kini dalam keadaan stabil.

Ia selepas Annuar menegaskan kerajaan pimpinan Ismail Sabri merupakan sebuah kerajaan yang stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang.

Annuar berkaa demikian gesaan sesetengah pemimpin Umno yang dilihat cenderung agar PRU15 diadakan dalam kadar segera.

Sementara itu Mohd Amar berkata, kerajaan yang ada kini akan terus stabil jika tiada gangguan termasuk daripada pihak dalam kerajaan sendiri.

"Kalau pembangkang tak kacau stabillah, yang jadi tak stabil kalau pembangkang ganggu ataupun ada parti dalam kerajaan yang tarik sokongan.

"Misalnya macam Umno buat kepada Muhyiddin Yassin sebelum ini, jadi tak stabillah. Tapi kalau duduk elok-elok tak tarik sokongan (kerajaan) akan jadi stabil," katanya lagi.