Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Johor tak perkenan turun umur calon pilihan raya 18 tahun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak bersetuju dengan enakmen negeri yang akan menurunkan umur minimum untuk bertanding dalam pilihan raya negeri kepada 18 tahun.

Sultan Ibrahim ketika merasmikan mesyuarat dewan undangan negeri hari ini, berkata adalah tidak sesuai untuk mempunyai Adun di bawah umur 21 tahun.

"Pada hemat saya, cadangan menurunkan had umur minimum tersebut adalah tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan cukup ilmu pengetahuannya.

"Namun begitu, saya tetap menyokong pemberian hak mengundi kepada golongan berusia 18 tahun ke atas. Tetapi untuk menjadi Ahli Dewan, saya rasa mereka masih belum sesuai," titah Sultan Ibrahim.

Johor telah meluluskan rang undang-undang untuk menurunkan umur pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada Januari lalu, di bawah kerajaan negeri terdahulu.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim berkata baginda masih belum memperkenankan undang-undang, dan umur pencalonan kekal 21 tahun.

Tidak seperti di peringkat persekutuan, perlembagaan negeri Johor tidak mempunyai peruntukan untuk membenarkan kerajaan negeri meluluskan undang-undang sekiranya tidak mendapat perkenan diraja.

Keputusan Sultan Ibrahim tidak akan menjejaskan umur pencalonan bagi kerusi Parlimen, termasuk di Johor, kerana had persekutuan telah diturunkan kepada 18 tahun.

Sementara itu, baginda dalam ucapannya hari ini, turut menasihatkan kerajaan Johor agar menganjurkan lebih banyak program belia agar tidak terpengaruh dengan fahaman liberal budaya negatif.