Skip to main
Logo Malaysiakini

Yunus nafi kenyataan dibuat setiausaha PAS Selangor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pertemuan di antara PAS dan Sultan Selangor di Shah Alam semalam hanyalah untuk mendengar titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi menjelaskan tidak ada sebarang perbincangan berlangsung di antara dia dan Sultan Sharafuddin.

"Saya mengesahkan bahawa dalam majlis tersebut saya hanya mendengar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan tidak ada sebarang perbincangan antara saya dengan Tuanku," katanya dalam kenyataan petang ini.

Terdahulu media melaporkan pihak istana mahu tahu pendirian PAS mengenai festival Bon Odori.

Dakwaan itu dibuat Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir kepada New Straits Times semalam.

Roslan juga mendakwa hubungan di antara PAS dan istana Selangor tidak menghadapi sebarang masalah.

"Tuanku memberikan pandangannya dan kami juga memaklumkan kami menghormati pandangan itu.

"Kami beritahu Tuanku pendirian kami dan paling penting, kami beritahu yang kami sokong sepenuhnya peranan istana dalam menyatukan rakyat," kata Roslan.

Pertemuan di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam itu dilaporkan berlangsung selama kira-kira sejam.

Menurut Yunus apa yang berlaku bulanlah seperti kenyataan yang dibuat dan dilaporkan media semalam.

"Saya dengan ini menafikan kenyataan berkaitan pertemuan tersebut sebagaimana dilaporkan oleh New Straits Times pada 15 Jun," katanya.