Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Adakah sekarang kita serius lawan rasuah?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Merafak sembah menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan peri pentingnya rakyat memerangi rasuah yang diibaratkan sebagai "barah yang boleh menghancurkan sesebuah tamadun".

Yang di-Pertuan Agong menyatakan, prasyarat bagi kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada masyarakat dan tenaga kerja yang jujur, amanah dan berintegriti.

Pada masa yang sama, kedudukan Malaysia adalah amat membimbangkan waktu ini. Dalam catatan senarai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia tahun lalu (2021), Malaysia berada pada kedudukan 61 dengan catatan skor 48%. Skor ini adalah yang terburuk buat Malaysia apabila buat pertama kalinya kita dikelompokkan dalam 2/3 negara dengan skor bawah paras 50% sejak 2012 berbanding 180 negara yang lain.

Menurut presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan pada awal 2021, faktor kedudukan Malaysia menjunam pada ketika itu antaranya disebabkan kegagalan pembentangan Rang Undang-undang Pembiayaan Politik serta beberapa pendakwaan rasuah serta salahguna kuasa yang digugurkan pada tahun 2020.

Hakikatnya, kita masih berada pada tahap sukar dan mencabar. Tanpa iltizam politik, rasuah tidak akan mampu diperangi hingga ke akarnya.

Selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 yang lalu, Pakatan Harapan (PH) telah meletakkan batu asas dalam usaha melawan rasuah. Meskipun tampak kecil seperti melarang pemberian hadiah kepada para pemimpin, sekurang-kurangnya ia menjadi satu isyarat yang mudah difahami oleh rakyat terhadap keseriusan PH memerangi rasuah dan sogokkan dalam perkhidmatan awam.

Ramai yang masih ingat kenyataan Perdana Menteri Mahathir Mohamad ketika itu; “Sesiapa ingin beri hadiah kepada saya, saya tidak akan terima. Melainkan boleh beri bunga, makanan atau buah-buahan. Tidak lebih daripada itu."

Pentadbiran kerajaan PH pada Julai 2019 juga telah sebulat suara meluluskan usul di Dewan Rakyat untuk mewajibkan pengisytiharan harta oleh semua ahli parlimen. Pengisytiharan yang telah dibuat boleh diakses oleh rakyat menerusi portal Pengisytiharan Harta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, dasar-dasar melibatkan integriti dalam pentadbiran PH selama tempoh dua tahun pentadbirannya seperti menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri, usaha mengheret skandal mega 1MDB ke muka pengadilan dan perlaksanaan tander terbuka dalam projek-projek kerajaan telah menganjak positif kedudukan Malaysia dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah.

Usaha-usaha ini berkesan. Setidak-tidaknya PH telah berjaya menurunkan CPI Malaysia ke kedudukan 61 pada tahun 2018 di awal era pentadbirannya dan 51 pada tahun 2019 berbanding kedudukan 62 pada tahun 2017 - tahun terakhir pentadbiran BN sebelum PH ambil alih kerajaan pada PRU14. 

Malangnya, hari ini segala iltizam tersebut boleh dipersoalkan semula apabila BN kembali menerajui kuasa. Apakah mereka akan meneruskan iltizam untuk melawan rasuah sedangkan imej-imej pemain politik yang terpalit skandal masih terus berjalan mendabik dada mendongak kepala? Diusung ke sana-ke mari ibarat hero Malaya dengan iringan laungan 'Bossku'?

Bahkan satu demi satu pendedahan terlondeh sepanjang perbicaraan skandal terbesar 1MDB yang disifatkan oleh hakim Mahkamah Rayuan sebagai national embarrassment. Antaranya penglibatan bekas ketua setiausaha Negara Mohd Sidek Hassan yang menerima bayaran sekitar RM30,000 sebulan sebagai anggota Lambaga Penasihat 1MDB tanpa perlu berbuat apa-apa.

Lebih membimbangkan lagi, kenyataan bekas PM Najib Razak yang tanpa segan silu menyatakan secara terbuka dalam sesi debat bersama Pengerusi PH Anwar Ibrahim bahawa “cash is king” dan “cash is rakyat”. Hal ini sangat berbahaya sekiranya ungkapan Najib memberi gambaran bahawa hak demokrasi rakyat yang paling asas juga boleh dibeli atau disogok dengan wang!

Keadaan ini memperlihatkan kita bahawa barah rasuah di Malaysia bukan lagi berlegar di kalangan orang politik semata-mata, bahkan telah merosakkan segenap lapisan penjawat awam serta rakyat biasa di pekan, desa dan kampung-kampung kecil. Justeru, apakah keluk U dalam kedudukan CPI Malaysia akan dapat dilandaikan semula? Sekiranya senario ini tidak ditangani dengan tuntas dan iltizam politik yang kuat, Malaysia akan terus kekal berada dalam bahaya.

Akhirnya, kita berbalik pada persoalan asas. Adakah Malaysia sudah benar-benar bersedia memerangi rasuah? Sekiranya perkara ini gagal dijawab dan disusuli dengan tindakan yang serius, Malaysia bakal menuju sebuah negara gagal sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun mendatang akibat barah ini. Sepertimana titah Agong; "Barah yang boleh menghancurkan sesebuah tamadun".


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah ahli jawatankuasa tertinggi DAP merangkap naib pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.