JBPM sedia teruskan bantuan untuk keluarga Allahyarham Adib
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia untuk terus menghulurkan bantuan kepada keluarga anggota Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada bila-bila masa.
Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga allahyarham selain menyifatkan keputusan menarik balik rayuan berhubung prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas adalah hak mereka.
“Kita sentiasa doakan keluarga ini diberikan kekuatan dan kesabaran untuk mereka teruskan kehidupan. Kalau ada keperluan dan bantuan diperlukan dari segi logistik serta kebajikan lain, kita akan berikan.
“Kami sentiasa jaga kebajikan pesara serta keluarga anggota yang pernah berkhidmat menerusi unit kebajikan dan agama jabatan,” katanya kepada Bernama ketika mengulas keputusan keluarga Muhammad Adib menarik balik rayuan berhubung prosiding komital terhadap Thomas.
Dia ditemui selepas merasmikan penutupan Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Pengarah JBPM di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang, Gambang di Kuantan hari ini.
Turut hadir Pengarah JBPM Pahang Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Pada kejohanan itu, JBPM Pahang mengungguli kategori berpasukan manakala JBPM Terengganu memenangi kategori antara regu. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 serta RM1,000.
Semalam, media melaporkan bahawa Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates yang mewakili keluarga Muhammad Adib memaklumkan menerima arahan menarik balik rayuan itu kerana tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut.
Menurut kenyataan itu, susulan arahan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, itu pihak peguam memfailkan notis pada 31 Mei lepas diikuti pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan.
Justeru, pihak keluarga arwah Muhammad Adib menganggap proses dan prosiding menghina mahkamah terhadap Thomas dan Jabatan Peguam Negara selesai serta tamat selain berharap agar masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah memulakan kehidupan baru.
Pada 29 Nov 2021, keluarga Muhammad Adib menerima pampasan berjumlah RM1.5 juta sebagai bantuan prihatin daripada kerajaan atas musibah yang menimpa ahli keluarga anggota bomba yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov 2018 sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai