Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesan Ambiga buat peguam: Kita mesti bangkit esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sehari sebelum protes terhadap dakwaan cubaan untuk melemahkan badan kehakiman berlangsung, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan menggesa rakan-rakan sejawatannya untuk bangkit bersama.

Kata Ambiga, setiap kali Badan Peguam turun ke jalan raya sebelum ini, ia adalah tindakan yang betul untuk diambil.

“Dorongan moral untuk berjalan esok sudah kita maklumi: percubaan jelas menjejaskan kebebasan badan kehakiman, meletakkan kedaulatan undang-undang dan demokrasi di negara ini dalam bahaya.

“Seperti yang diketahui oleh setiap ahli Badan Peguam, tidak seperti profesion lain, kita mempunyai kewajipan berkanun yang utama untuk menegakkan keadilan tanpa mengambil kira kepentingan kita sendiri dan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Ahli Badan Peguam, esok kita mesti bangkit semula dan menyahut seruan untuk tugas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Badan Peguam Malaysia mengadakan Walk for Judicial Independence yang dijadual berlangsung pada jam 10 pagi esok.

Ia dirancang bermula dari Padang Merbok di Kuala Lumpur dan berakhir di luar kompleks parlimen.

Rancangan untuk mengadakan bantahan itu diluluskan melalui resolusi diluluskan oleh lebih 600 ahli Badan Peguam yang menghadiri mesyuarat agung luar biasa mereka pada Mei lalu.

Ini adalah sebagai tindak balas kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Siasatan berkenaan digerakkan apabila ada sebuah blog berkaitan politik mendakwa Mohd Nazlan - yang mengadili kes membabitkan Najib Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu - mempunyai kekayaan meragukan.

Najib dan pasukan peguamnya cuba mengaitkan Nazlan dengan konflik kepentingan yang tidak didedahkan.

Badan Peguam pula menganggap siasatan SPRM adalah tidak berperlembagaan dan melanggar doktrin pengasingan kuasa di negara ini.

[Baca berita penuh]