Skip to main
Logo Malaysiakini

Kumpulan hak pekerja ragu peraturan kerja 45 jam seminggu dapat dilaksana

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kumpulan hak pekerja menyuarakan keraguan berhubung sama ada Jabatan Tenaga Kerja mampu melaksanakan dasar kerja 45 jam seminggu atau tidak, dengan membangkitkan apa yang disifatkan sebagai rekod penguatkuasaan yang buruk jabatan itu.

Jam kerja yang majikan boleh kenakan terhadap pekerja diturunkan daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu susulan Akta Kerja (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa 1 September ini.

Pengerusi bersama Labour Law Reform Coalition (LLRC) N Gopalkishnam membangkitkan rungutan ke jabatan itu baru-baru ini yang diselesaikan menerusi pembayaran sebahagian ganti rugi, namun tiada tindakan dikenakan terhadap majikan.

"Tiada tindakan lanjut terhadap majikan yang melanggar Akta Kerja dan persetujuan bersama, walaupun aduan telah dibuat kepada Jabatan Tenaga Kerja.

"Lebih buruk lagi, ganti rugi dirunding lagi ketika wabak Covid-19 sebelum mereka setuju untuk membayar gaji, sebulan lewat.

"Jabatan Tenaga Kerja menganggap pembayaran gaji sebelumnya sudah cukup sebagai hukuman," kata tokoh veteran kesatuan sekerja itu.

Pada Jun 2021, kira-kira 300 pekerja di tiga syarikat alat automatif tidak menerima gaji mereka.

Antaranya sebahagian pekerja United Industries Sdn Bhd, yang menurut Gopal, meraih aliran tunai positif bagi 2020 dan 2021.

"Syarikat menggunakan perintah kawalan pergerakan sebagai alasan untuk memaksa pekerja memotong gaji empat hari sebagai cuti tahunan sebelum membayar gaji mereka," katanya.

Gopal berkata pihak kesatuan juga telah membuat aduan terhadap syarikat itu atas dakwaan membayar gaji kurang 30 peratus pada 2020 dan kes itu masih di peringkat Mahkamah Buruh.

Berdasarkan contoh kelemahan penguatkuasaan ini, dia berkata kumpulan hak pekerja - yang merangkumi 58 kesatuan sekerja, NGO dan pertubuhan pekerja asing - berpandangan majikan akan memanipulasikan peraturan kerja 45 jam seminggu tersebut.

Ada majikan mengambil kesempatan terhadap Jabatan Tenaga Kerja yang kurang kakitangan sehingga menyebabkan penguatkuasaan yang lemah.

"Majikan melanggar peraturan di kilang di mana wujudnya kesatuan sekerja, apatah lagi terhadap pekerja yang tidak diwakili kesatuan," katanya lagi.

Gopal turut menggesa Kementerian Sumber Manusia mengambil langkah bagi meningkatkan kesedaran terhadap pindaan akta itu, yang antaranya perlu merangkumi tindakan terhadap majikan yang ingkar.

[Baca berita asal]