Skip to main
Logo Malaysiakini

Walau berdepan tahun sukar, Ain dapat keputusan cemerlang SPM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perjalanan penuh liku buat Ain Husniza Saiful Nizam ternyata tidak menghalangnya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Dia yang mencetuskan kontroversi selepas mendedahkan dakwaan jenaka lucah guru mendapat empat A+ (cemerlang tertinggi) , dua A (cemerlang tinggi) dan satu B (kepujian tertinggi) dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Ain berkongsi keputusan itu di media sosialnya semalam di samping komen-komen yang diterima sebelum ini kerana dakwaannya itu.

Dia menyatakan rasa kesyukuran atas keputusan itu setelah melalui berbagai rintangan ketika di bangku persekolahan.

“Mereka bercakap buruk tentang rupa badan saya. Mereka mengecam saya dari berbagai sudut yang mereka ada. Mesej yang saya dapat ini? Ia hanya satu dari beratus lagi mesej lain yang mengharapkan kegagalan untuk saya.

“Saya menangis turun naik balai polis. Saya sangat tertekan ketika SPM. Tetapi akhirnya, untuk diri saya, saya tetap berjaya,” katanya.

Selain tohmahan dan ancaman, dakwaan jenaka lucah yang dibangkitkannya juga mengheretnya ke mahkamah setelah disaman seorang guru.

Malah ada yang mendoakannya untuk gagal SPM kerana dikatakan tidak mendapat berkat ekoran tindakannya yang dianggap biadab terhadap gurunya.

Tidak menyimpan harapan besar

Ketika sesi Instagram Live bersama @dewanmudapendidikan semalam, Ain berkongsi betapa dia tidak menyimpan harapan besar sepanjang perjalanan untuk mengambil keputusannya.

“Bila saya diberikan slip (keputusan SPM), saya mula-mula tak berani nak tengok pun sebab saya sangat takut. Dan akhirnya bila saya tengok, saya dapat 7A dan 1B, saya terperanjat. Saya dapat B untuk subjek Matematik,” katanya penuh riang.

Ain berkata dia sangat bimbang dengan subjek itu malah risau jika mendapat keputusan gagal.

“Saya sangat berbangga dengan diri saya. Segala usaha yang saya curahkan selama ini akhirnya membawa pulangan. Ini merupakan kali pertama saya mendapat A sebanyak ini.

“Ini membuktikan sesiapa yang bekerja keras pasti akan berjaya,” katanya lagi.

Guru Matematik pembekal semangat

Ain berkata antara sebab dia dapat menjawab subjek Matematik dengan baik adalah kerana guru yang memahami dirinya.

“Guru Matematik ini berumur 19 tahun. Dia tidak mengajar seluruh sukata mata pelajaran semula. Tetapi sepanjang dia mengajar saya, dia tidak pernah berkasar atau menghakimi kelemahan saya dalam subjek ini.

“Dia membuka pintu kepada saya untuk mengatasi ketakutan saya. Dia membuatkan saya percaya yang saya mampu untuk menguasai mata pelajaran matematik.

“Saya belajar dan saya berusaha keras, akhirnya saya berjaya dapat B untuk matematik,” katanya lagi.

Positif tentang masa hadapan

Melalui keputusan cemerlang yang dicapai ini, Ain berkata keyakinan dirinya semakin bertambah dan tidak akan lagi memandang rendah diri sendiri.

“Saya tahu apa yang saya mampu capai sekarang. Saya hanya seorang pelajar yang biasa saja. Tidak terlalu pandai dan tidak terlalu teruk.

“Jika saya mampu miliki apa yang saya ada sekarang, apa lagi yang saya mampu capai di masa hadapan. Saya harus percaya kepada diri saya untuk mencapai cita-cita,” ujarnya.

Ain juga berkata yang Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) akibat dari penularan wabak Covid-19 memberi impak kepada cara pembelajarannya.

“Saya banyak terlepas apabila belajar di atas talian. Saya tidak dapat menghayati apa yang saya belajar. Saya tidak semudah itu memahami apa yang guru saya ajar dalam suatu kelas.

“Masalah sambungan internet yang tidak stabil juga sememangnya ada. Nak berjumpa dengan rakan-rakan dan guru juga sukar. Tidak sama bercakap dalam alam maya dengan fizikal,” katanya.

Ain dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab kini berdepan saman fitnah daripada seorang guru, Khairul Nizam Sanuddin berhubung dakwaan yang dibuatnya.

Pada masa sama, dua beranak itu turut memfailkan saman balas, antara lain dengan hujah saman fitnah difailkan terhadap mereka dengan niat untuk menutup kebenaran di sebalik gurauan yang dikatakan lucah dalam bilik darjah.