Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahidan bawa MP lawat hotspot banjir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim membawa sekumpulan ahli parlimen Kuala Lumpur melawat projek mitigasi banjir jangka pendek di ibu negara, petang semalam.

Antara ahli Parlimen yang hadir ialah Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Teresa Kok (Seputeh), P Prabakaran (Batu) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Rombongan berkenaan menaiki bas dari bangunan DBKL.

“Kita tunjuk di empat hotspot yang kita kata mudah banjir kilat, saya tunjuk kepada MP usaha-usaha yang dibuat untuk mengatasinya dalam jangka pendek.

“Kita telah maklumkan apa yang kita lakukan dalam method jangka panjang, method jangka pendek kita gunakan pump sandbag, guna orang (tenaga manusia) termasuk lori tanker menyelesaikan banjir kilat.

“Lawatan yang telah kita buat ni di tempat-tempat utama yang mudah banjir,” katanya ketika rombongan tersebut.

Lawatan tersebut bermula 5.15 petang dengan empat lokasi dikunjungi iaitu Jalan Ampang, Jalan Rahmat, Jalan Kasipillay dan Jalan Dutamas.

Pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menyertai lawatan selama 90 minit itu.

Lawatan itu dibuat selepas Lim mempersoalkan mengapa menteri itu berdiam diri setelah jemputan dihantar pada 5 Jun lalu.

https://www.malaysiakini.com/news/624668

Ketika rombongan tersebut, Shahidan dan pegawai DBKL menjelaskan langkah-langkah untuk mengawal banjir kepada ahli parlimen berkaan, di setiap hentian lokasi-lokasi tersebut.

DBKL telah mengumumkan rancangan untuk menempatkan kakitangannya di 25 hotspot di ibu negara sebagai respons awal sekiranya berlaku banjir kilat.

Setiap pasukan terdiri daripada 10 pegawai yang bekerja dua syif setiap hari, dari 8 pagi hingga 10 malam, untuk menyelaraskan langkah mitigasi jangka pendek.

Dalam rombongan itu, ahli parlimen pembangkang turut mencadangkan pihak berkuasa KL mendalamkan longkang dan sungai melebihi kedalaman sedia ada.

Belum boleh dedah kos

Ketika sidang media selepas lawatan tersebut, Shahidan berkata kerajaan akan membina laluan kolam takungan bawah tanah bagi penyelesaian jangka panjang.

Katanya, perkara itu akan dirujuk kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kabinet, dengan memaklumkan perkembangan banjir kilat dari masa ke semasa.

“Ini perancangan jangka panjang, kita bagi tempoh antara tiga hingga empat tahun, tapi sekarang kita boleh buat juga jangka pendek, jangka sederhana untuk melaksanakan projek ni,"

Katanya, walaupun projek berkenaan menggunakan teknologi tinggi, namunb beberapa negara telah pun laksanakannya seperti China, Korea, Jepun dan Thailand.

Bagaimanapun, Shahidan berkata kos projek berkenaan masih belum boleh didedahkan buat masa ini dan dia juga enggan mendedahkan lokasi tersebut.

“Lokasi tak perlu disebut sebab ia akan menimbulkan spekulasi.

“Tapi Kalau (di) Jepun, dia buat bawah jalan, kebanyakan negara buat bawah jalan. Kita akan memperkenalkan satu pendekatan….sebab kita kena buat di tempat yang tak ada bangunan, tak ada gangguan utilities,” katanya.

DBKL tak tanggung kos tiang lampu

Dalam isu yang berasingan, Shahidan sekali lagi mengataakn DBKL tidak menanggung kos tiang lampu dwi-fungsi, sebaliknya hanya mendapat bayaran sewaan selepas projek itu siap.

“DBKL tak pernah membina tiang lampu dwi fungsi, satu jalan satu antenna, yang ni dibina oleh syarikat yang dibiayai bersama oleh syarikat-syarikat Telco.

“Mereka membina, mereka uruskan bayaran, mereka melantik subcon dan sebagainya, tapi DBKL hanya dapat bayaran sewa, iaitu mereka bayar sewaan dalam bentuk RM850 satu tiang sebulan.

“Sekarang, 1,000 tiang dah dibina oleh 29 syarikat. Saya dengar 29 syarikat yang dah diberi kebenaran oleh MCMC dan DBKL hanya benarkan tempat demi digunakan tapi dia kena bayar sewa tiap-tiap bulan,” katanya.

Pada 14 Jun, Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menjelaskan bahawa anak syarikatnya SCIB Properties Sdn Bhd (SCIBP) dilantik sebagai sub kontraktor bagi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan berkaitan projek Penggantian Tiang Lampu Pintar Bersepadu untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh Ennova Sdn Bhd.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif SCIB Rosland Othman berkata skop kerja SCIBP termasuk namun tidak terhad kepada pembersihan tapak, penggalian dan struktur tapak konkrit bertetulang, meletakkan semua konkrit tetulang, bolt dan nat, dan plat pada semua struktur keluli lembut, dengan tiang, kelengkapan dan aksesori yang akan dibekalkan oleh Ennova.

Kenyataan ini timbul susulan laporan bahawa kontrak bernilai RM30.75 juta telah diberikan kepada pembuat produk konkrit pratuang yang berpangkalan di Sarawak melalui Ennova untuk projek itu.