Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayer kemalangan, dimasukkan ke hospital Sungai Buloh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dimasukkan ke hospital Sungai Buloh, Selangor kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya hari ini. 

Ketika dihubungi Malaysiakini, pembantunya G Hemanatha berkata Rayer dalam keadaan sedar dan tiada apa-apa kecederaan yang serius. 

Katanya, Rayer cedera di bahagian tangan kirinya. 

“Kita tak tahu lagi (bila dia dapat keluar dari hospital). Selepas pukul lima (petang) baru kita tahu keadaan, sebab laporan (perubatan) belum keluar lagi. 

“Jadi setakat ni tak ada apa seriuslah,” katanya apabila ditanya mengenai sama ada Rayer akan dibenarkan keluar hospital hari ini. 

Kejadian itu berlaku di Batang Kali, ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.  

Difahamkan, dia ketika itu dalam perjalanan ke Padang Merbok berikutan himpunan oleh sekumpulan peguam berhubung protes terhadap dakwaan cubaan melemahkan badan kehakiman. 

Tambah Hemanatha, kemalangan tersebut melibatkan enam orang termasuk Rayer. 

Sementara itu, berdasarkan gambar yang diperoleh media lain, kereta dipandunya remuk di bahagian depan dan sisi.

Cermin depannya juga retak teruk.