'Jelaskan kenapa 70,455 pelajar tak ambil periksa, tak layak dapat SPM'
Tajuk dan perenggan pertama laporan ini dubah supaya lebih tepat. Harap maklum. - Editor
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa memberi penjelasan berhubung 70,455 pelajar tidak menduduki peperiksaan dan tidak layak menjadi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021.
Dalam kenyataan hari ini, NGO Untuk Malaysia berkata pengumuman analisis peperiksaan SPM tahun 2021 yang telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Nur Zamani Abdol Hamid semalam sebenarnya memerlukan lebih banyak penjelasan.
"Walaupun kita semua maklum peperiksaan SPM 2021 ini dilaksanakan pada tahun yang mencabar akibat tekanan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan ramai calon hanya belajar dari dalam talian berbanding pembelajaran bersemuka, pihak KPM perlu bertanggungjawab," katanya.
"Apakah demografi 70,455 calon ini dan latar belakang sosial dan ekonomi mereka? Berapa peratus dari 70,455 calon ini yang tergolong sebagai warga miskin, B40 dan warga pedalaman dan adakah trend ini menunjukkan kegagalan pembelajaran dalam talian untuk warga miskin, B40 dan pedalaman?" soalnya.
NGO itu juga bertanya langkah awal yang telah diambil oleh KPM sebelum ini untuk mengatasi keciciran dalam angka yang besar seperti ini.
"Apakah nasib 45,514 calon yang tidak layak mendapatkan sijil ini dan apakah langkah yang telah diatur oleh KPM untuk membantu mereka?
"Transparensi daripada pihak KPM untuk memberi penjelasan yang lebih mendalam dapat membantu rakyat Malaysia khususnya untuk memahami trend keciciran yang sangat merisaukan ini," katanya.
Semalam KPM memberitahu bahawa 70,455 calon dikategorikan sebagai cicir SPM yang membawa maksud mereka tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya sama ada kerana tidak hadir peperiksaan tersebut mahupun kerana tidak layak mendapatkan sijil.
Daripada jumlah itu, seramai 1,655 calon yang telah mencatatkan markah semua gred G. Sementara seramai 24,941 atau 6.2 peratus calon yang telah mendaftar tidak menduduki peperiksaan SPM.
Dalam masa yang sama, seramai 45,514 atau 11.91 peratus calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah.
Untuk Malaysia merupakan NGO diasaskan oleh bekas menteri pendidikan Maszlee Malik. Namun, dia kini tidak lagi terlibat dengan NGO tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai