Skip to main
Logo Malaysiakini

Menantu PM nafi setuju jadi naib pengerusi eksekutif syarikat pakaian dalam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie berkata pembuat pakaian dalam Caely Holdings Bhd membuat pengumuman yang tidak benar kepada Bursa Malaysia pada 14 Jun, 2022 berhubung dakwaan pelantikannya sebagai Naib Pengerusi Eksekutif (EVC) syarikat itu.

Dipetik Bernama, Jovian berkata, dia tidak melaksanakan sebarang bentuk dan/atau persetujuan yang menunjukkan penerimaan beliau berhubung pelantikan tersebut.

Untuk rekod, Jovian merupakan menantu kepada perdana menteri, Ismail Sabri.

“Saya telah menghadiri mesyuarat dengan wakil Caely Holdings, Datuk Loh Ming Choon pada 13 Jun, 2022 bagi membincangkan mengenai potensi kerjasama dengan syarikat tersebut.

“Wakil tersebut turut menawarkan jawatan dalam lembaga pengarah Caely Holdings sebagai EVC syarikat, bertujuan menyusun semula dan/atau mengembangkan bahagian

pakaian syarikat, yang mana, tiada persetujuan lisan yang muktamad telah dicapai,” katanya dipetik agensi berita nasional itu.

Jovian berkata pengumuman Caely Holdings mengenai pelantikannya mengelirukan orang ramai.

“Pengumuman tidak benar yang dibuat Caely Holdings selaku syarikat senaraian awam berhubung pelantikan saya sebagai EVC, telah mencemarkan reputasi korporat, perniagaan dan peribadi saya.

“Saya memandang serius berhubung perkara ini dan saya akan mendapatkan nasihat guaman mengenai perkara ini untuk melaksanakan apa sahaja yang diperlukan bagi melaporkan salah laku tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.