Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi: Sukar untuk akar umbi PKR terima semula Azmin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sukar bagi ahli akar umbi PKR untuk menerima jika bekas timbalan presiden mereka Azmin Ali ingin kembali menyertai parti itu, kata Fahmi Fadzil.

Pengarah komunikasi PKR itu berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini hari ini bahawa Azmin mengadakan pertemuan dengan wakil parti itu dua hari lalu.

Fahmi berkata dia juga tidak mempunyai maklumat yang membolehkannya mengesahkan pertemuan itu telah berlangsung dan butiran perbincangan.

"Hal ini tidak ada dibincangkan di peringkat pimpinan PKR. Saya tiada maklumat sama ada pertemuan tersebut berlaku mahupun tidak, siapa yang hadir ataupun tidak.

"Akar umbi parti dan penyokong parti sukar untuk terima semula figura kontroversi seperti Azmin," katanya melalui grup Whatsapp media PKR.

Petang ini, Malaysiakini melaporkan Azmin mengadakan pertemuan dengan dua wakil PKR di Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada Rabu.

Mereka dikatakan telah membincangkan beberapa isu termasuk sokongan ahli parlimen kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Azmin berpaling tadah ke Bersatu pada Februari 2020 semasa 'Langkah Sheraton'.

Terdahulu, Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu,menegaskan kesetiannya kepada partinya dengan berkata, idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati dirinya.