Skip to main
Logo Malaysiakini

Lip Eng: Guna beg pasir tangani banjir cara lapuk

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli parlimen pembangkang mempersoalkan keberkesanan projek tebatan banjir jangka pendek menggunakan beg pasir untuk menghadang air banjir dan menempatkan kakitangan di kawasan berisiko banjir kilat di ibu kota.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membidas Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim sebagai "menteri drama" selepas menganjurkan lawatan di kawasan terlibat dengan wakil rakyat.

"Dia seorang menteri drama. Abad berapa sekarang? Bagaimana boleh menggunakan beg pasir untuk mengelakkan banjir? Hanya letak di bahagian tebing sungai tertentu dan di sebelah sistem perparitan? Bagaimana jika keseluruhan kawasan itu dilanda banjir?" soalnya.

Tambahnya, langkah mendirikan khemah di empat lokasi bersama kakitangan yang bertugas di beberapa lokasi tertentu tidak berkesan dan hanya membazir sumber Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selain itu, menurutnya, langkah-langkah itu sudah lapuk.

"Bagaimanakah kerajaan boleh menyuruh rakyatnya bersiap sedia di khemah untuk kemungkinan banjir kilat antara 8 pagi dan 10 malam? Bagaimana jika hujan lebat bermula selepas 10 malam?

"Saya dimaklumkan terdapat 23 khemah sebegini di Kuala Lumpur di mana kakitangannya akan bertugas pada syif pagi atau malam, sehingga Ogos.

"Mengapa tidak bergegas ke kawasan itu apabila banjir melanda? Memang mengarut kalau orang duduk di situ sepanjang hari, " katanya.

Katanya lagi, pihak berkuasa seharusnya perlu kerap membersihkan sistem perparitan yang tersumbat dan menjalankan kerja-kerja mendalamkan sungai.

"Sebenarnya, apa yang saya mahu dalam lawatan itu adalah untuk kita mengetahui lebih lanjut mengenai projek terowong simpanan air bawah tanah baru yang diumumkan oleh menteri sebelum ini, bukan untuk melawat beg pasir ini.

"Kita ingin tahu di mana ia akan dibina, tetapi dia nampaknya tidak dapat berikan jawapan," tambah Lim.

“Terdapat banyak kolam tadahan banjir di ibu kota dan apa yang dia harus lakukan ialah menaik taraf dan menyelenggara dan bukannya membina yang baru,” katanya.

Lim, bersama rakan-rakannya dari DAP Teresa Kok (Seputeh) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang) serta wakil rakyat PKR Tan Yee Kew (Wangsa Maju) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) menyertai Shahidan untuk melawat projek tebatan banjir di kawasan itu 15 Jun lalu.

Mereka melawat empat kawasan berisiko banjir - Jalan Ampang, Jalan Rahmat, Jalan Kasipillay, dan Jalan Dutamas.

Perjalanan itu dibuat selepas Lim mempersoalkan mengapa menteri itu berdiam diri selepas jemputan awal pada 5 Jun.

Minggu lalu, Shahidan berkata DBKL akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan mengenai lokasi dan spesifikasi terowong simpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi, yang akan siap dalam tempoh tiga bulan.

Selain terowong simpanan air bawah tanah, Shahidan berkata kerajaan akan membina kolam tadahan untuk jangka sederhana manakala langkah sementara akan diguna pakai.

Langkah sementara itu termasuk meletakkan beg pasir sebagai penghadang banjir sementara dan pemasangan pam air untuk memastikan pengalihan air ke sungai lancar apabila hujan.

Kuala Lumpur lebih kerap menghadapi banjir kilat sejak Disember lalu.

Sementara itu, Kok mengakui Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL serius dalam menentukan punca banjir kilat.

Ini walaupun dia tidak pasti keberkesanan langkah jangka pendek yang diambi;.

"Dia betul, sebenarnya. Bandar ini terlalu membangun dan banyak projek itu tidak diluluskan semasa era Shahidan. Ini masalah yang ditinggalkan oleh pendahulunya Tengku Adnan Mansor," kata Kok.

Dia juga tidak bersetuju dengan langkah meletakkan kakitangan di khemah di lokasi tertentu.

"Boleh diterima jika mereka bergegas ke tempat ini apabila hujan turun," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata sebahagian besar sistem perparitan di Kuala Lumpur, yang dibina antara 1970-an dan 1990-an, tidak mampu menampung kapasiti aliran air.

Justeru, katanya Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL perlu diberi lebih peruntukan untuk menilai semula keseluruhan sistem perparitan dan membina semula jika perlu.

Fahmi berkat, langkah yang lebih baik adalah membuat penilaian terhadap sistem perparitan dan mengenal pasti parit yang perlu dibaiki.