Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin Bersatu gesa lapor SPRM pada ahli politik didakwa terima wang UKSB

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin Bersatu Kedah menyeru ahli dan pemimpin parti di negeri itu untuk tampil membuat laporan SPRM terhadap individu yang dinamakan sebagai penerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata laporan polis perlu dibuat terhadap Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, dan bekas menteri luar negeri Anifah Aman.

Menurut jemputan yang dihantarnya kepada media hari ini, Khairul Anuar bercadang untuk membuat laporan itu di ibu pejabat SPRM di Kedah pagi esok.

UKSB adalah syarikat yang terlibat dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung sistem visa luar negara (VLN).

Reezal adalah timbalan menteri luar ketika Zahid menyelia VLN dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri.

Khairy, Reezal, Hishammuddin dan Anifah direkodkan dalam lejar pembayaran UKSB dan laporan forensik SPRM. Nama mereka muncul semasa perbicaraan semalam ketika bekas pengurus pentadbiran syarikat itu David Tan memberi keterangan.

Tan dalam keterangannya juga mendakwa UKSB membuat pembayaran berjumlah RM1.3 juta kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin antara Jun dan Ogos 2018 ketika dia menjadi menteri dalam negeri.

Selain mereka, nama lain yang disebut semalam sebagai penerima pembayaran UKSB ialah presiden Warisan Shafie Apdal.

Muhyiddin bagaimanapun menafikan menerima sebarang dana daripada UKSB, dan berkata dia ketika itu sedang menjalani rawatan kanser di luar negara ketika bayaran yang didakwa dibuat.

Bagaimanapun, dia telah menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh SPRM.

Khairul Anuar tidak menyebut tentang presiden partinya atau Shafie. Bersatu dilaporkan mahu menjalinkan kerjasama dengan Warisan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu ketua penerangan Bersatu Kedah itu juga mahu laporan turut dibuat terhadap Tan, supaya SPRM boleh menyiasat sama ada kenyataan saksinya dalam perbicaraan VLN itu dipengaruhi sogokan.

Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta (RM43 juta) daripada UKSB selama empat tahun dari 2014 hingga 2018 sebagai menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan VLN, serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN untuk syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.