Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M tiada kaitan isu bayaran UKSB - Peguam Pejuang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad tidak mempunyai kaitan dengan pendedahan bahawa syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) membuat pembayaran kepada beberapa ahli politik, kata peguam Pejuang.

Dalam satu kenyataan, Muhammad Rafique Rashid Ali mengulas kenyataan ahli majlis tertinggi Umno, Razlan Rafii yang mendakwa bekas perdana menteri itu melakukan pendakwaan terpilih berkaitan kes berkenaan semasa menjadi perdana menteri.

Dia juga membidas tindakan pemimpin Umno, Lokman Adam membuat laporan polis terhadap Mahathir berhubung pendedahan di mahkamah semalam.

"Yang begitu jelas sekali dalam isu UKSB ini adalah bahawa "penerima-penerima" wang ini dari UKSB yang didakwa kata wakil UKSB sendiri dan menurut lejer UKSB adalah Mahiaddin, Khairy Jamaluddin, Shafie Apdal, Hishamuddin Hussein Onn, Reezal Merican dan Anifah Aman.

"Di mana nama Tun Mahathir? Jelas setakat ini seperti juga dakwaan-dakwaan lain selama ini oleh pemimpin-pemimpin Umno dan/atau pihak pembangkang tiada secebis bukti, laporan kepada pihak berkuasa apatah lagi sebarang pendakwaan atau penghakiman terhadap Tun Mahathir.

"Maka, apa yang dikatakan oleh orang-orang seperti Lokman Adam serta Razlan Rafii tidak lain tidak bukan picisan politik sahaja semata-mata untuk sensasi di dada akhbar atau untuk kekal relevan," kata Rafique dalam satu kenyataan.

UKSB ialah syarikat yang disebut dalam perbicaraan rasuah terhadap bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Sistem Visa Asing (VLN).

Reezal merupakan timbalan menteri luar ketika Zahid menyelia VLN dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri.

Nama Khairy, Reezal, Hishammuddin dan Anifah direkodkan dalam lejar pembayaran UKSB dan laporan forensik SPRM.

Nama mereka disebut dalam perbicaraan semalam ketika bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David Tan memberi keterangan.

Dalam keterangannya, Tan juga mendakwa UKSB membuat bayaran berjumlah RM1.3 juta kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin antara Jun dan Ogos 2018 ketika menjadi menteri dalam negeri.

Dia juga berkata projek VLN itu terletak di bawah bidang kuasa Muhyiddin selepas mengambil alih Kementerian Dalam Negeri daripada Zahid.

Muhyiddin menafikan menerima bayaran daripada UKSB dan mengatakan dia sedang menjalani rawatan kanser di luar negara ketika bayaran itu.

Dia juga berkata semasa sedang bercuti untuk rawatan kanser, Dr Mahathir adalah pemangku menteri dalam negeri ketika itu.

Bagaimanapun, Muhyiddin menyatakan kesediaannya untuk memberikan kerjasama terhadap siasatan SPRM.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.