Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ahli politik kena sedar diri, usia langkaui 55 tahun elok bersara'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya dari parti Bersatu mengumumkan tidak akan bertanding PRU15 untuk memberi laluan kepada "pucuk muda" bertanding di kerusi tersebut.

”Saya bercadang bersara daripada jawatan politik tetapi masih bergiat dalam politik cuma tidak lagi menjadi wakil rakyat.

“Saya sudah empat penggal, orang kata just nice (sedang elok) untuk beri laluan kepada pucuk muda, orang muda lebih energetik (bertenaga) dan keputusan ini juga boleh memberi orang muda lebih peluang dalam politik,” katanya, lapor Utusan Online hari ini.

Shabudin juga dipetik berkata ahli politik Malaysia perlu bersara secara sukarela selepas berusia antara 55 hingga 60 tahun.

Gambar fail.

”Saya rasa sebagai ahli politik umur lebih 55 tahun elok bersara kerana selepas 60 tahun, baik macam mana pun kita kena sedar diri,” katanya.

Jelasnya, perkembangan politik semasa menunjukkan peralihan kepimpinan kepada generasi muda sedang berlangsung.

”Bagi saya, pemimpin yang berusia lebih 55 tahun sepatutnya bersara (dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk fizikal), saya sekarang berusia 57 tahun, orang kata dalam politik masih muda.

”Tetapi selepas usia 55, produktiviti kita sudah menurun, jadi beri peluang kepada pelapis muda kerana mereka punya lebih tenaga dan mempunyai buah fikiran yang lebih segar,” katanya lagi.

Shabudin sebelum ini merupakan pemimpin Umno, bagaimanapun menyertai Bersatu pada tahun 2019.

Dia juga sebelum ini pernah dilantik sebagai pengerusi Felcra Berhad pada Mei tahun lalu.

Pada bulan Julai 2020, dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Undang-undang Di Jabatan Perdana Menteri bawah pentadbiran PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Sebaik sahaja kerajaan diambil alih oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob selepas kejatuhan pentadbiran Muhyiddin yang bertahan 17 bulan, ahli parlimen Bera itu mengekalkan sebahagian besar menteri dan timbalan menteri sebelumnya.

Namun, Shabudin tidak berada dalam senarai kabinet Ismail Sabri.

Pada 11 Sept 2021, dilaporkan dia telah dilantik sebagai pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).