Skip to main
Logo Malaysiakini

'Aneh, kenapa SPRM siasat nama lepas saksi dedah di mahkamah?'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SPRM sepatutnya menyiasat ahli politik yang dinamakan dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi lebih awal, bukannya menunggu sehingga ia dibawa ke mahkamah.

Peguam Haniff Khatri Abdulla (gambar, judul) berkata ini kerana individu itu dinamakan dalam lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang merupakan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sendiri.

"Bukankah ini bermaksud buku lejar UKSB itu adalah antara barang kes yang sudah lama diperolehi oleh SPRM semasa siasatan awal kes ini?

"Maka isunya adalah, mengapakah pihak siasatan SPRM pada masa itu tidak mendalami dan tidak siasat kesemua nama lain yang ada dalam buku lejar UKSB itu?’

"Kenapakah perkara ini cuma terdedah di atas soal balas peguam pembelaan dalam soal balas saksi pendakwaan ke-17 itu," soal Haniff pada satu kenyataan hari ini.

Katanya, perkara ini "aneh, pelik dan wajar dijawab oleh SPRM."

"Adakah SPRM akan menyiasat SPRM sendiri di atas pengakuan sukarela SPRM sendiri bahawa buku lejar UKSB yang ada dengan saksi pendakwaan ke-17 sejak awal siasatan, telah tidak disiasat berhubung kesemua nama pemimpin politik lain yang telah menerima wang daripada UKSB," soal peguam itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng (gambar, bawah) turut menyoal mengapa SPRM hanya meneliti nama-nama itu sekarang.

“Bukankah (David) Tan (Siong Sun) saksi yang disediakan SPRM dalam perbicaraan rasuah Zahid?

“Mengapa hanya sekarang mereka mahu menyiasat menteri dan bekas menteri yang dikatakan menerima wang daripada saksi? Atau SPRM tidak pernah mengetahui perkara ini,” soal Lim pada hantaran Facebook hari ini.

SPRM berkata awal hari ini bahawa ia akan membuka kertas siasatan terhadap beberapa ahli politik yang dinamakan dalam perbicaraan rasuah Zahid.

Tan pada minggu lalu memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memetik nama-nama selain Zahid yang didakwa menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Antara yang disebut saksi itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, dan bekas menteri luar negeri Anifah Aman.

UKSB adalah syarikat yang terlibat dalam perbicaraan rasuah membabitkan Ahmad Zahid berhubung sistem visa luar negara (VLN).

Reezal adalah timbalan menteri luar ketika Zahid menyelia VLN dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri.

Khairy, Reezal, Hishammuddin dan Anifah direkodkan dalam lejar pembayaran UKSB dan laporan forensik SPRM. Nama mereka muncul semasa perbicaraan semalam ketika bekas pengurus pentadbiran syarikat itu David Tan memberi keterangan.

Tan dalam keterangannya juga mendakwa UKSB membuat pembayaran berjumlah RM1.3 juta kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin antara Jun dan Ogos 2018 ketika dia menjadi menteri dalam negeri.

Selain mereka, nama lain yang disebut semalam sebagai penerima pembayaran UKSB ialah Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Muhyiddin bagaimanapun menafikan menerima sebarang dana daripada UKSB, dan berkata dia ketika itu sedang menjalani rawatan kanser di luar negara ketika bayaran yang didakwa dibuat.

Bagaimanapun, dia telah menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh SPRM.

Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta (RM43 juta) daripada UKSB selama empat tahun dari 2014 hingga 2018 sebagai menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan VLN, serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN untuk syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

[Baca berita asal]