Skip to main
Logo Malaysiakini

Anifah nafi terima wang dari UKSB

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas menteri luar negeri Anifah Aman berkata dia terkejut kerana dikaitkan sebagai antara ahli politik yang menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

"Dilaporkan nama saya telah direkodkan dalam lejar UKSB sebagai salah seorang penerima wang. Saya terkejut dengan laporan ini.

"Sebagai menteri luar negeri ketika itu, saya berjumpa dengan ramai orang. Seingat saya, saya tidak pernah berjumpa dengan David Tan mahupun menerima sebarang wang daripada dia atau UKSB.

“Saya tidak tahu siapa mereka dan saya tidak mempunyai sebarang urusan dengan mereka dalam apa cara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Nama Anifah muncul semasa perbicaraan kes rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dibicarakan atas dakwaan menerima rasuah daripada UKSB sebagai pertukaran kontrak berkaitan visa semasa menjadi menteri dalam negeri.

Bayaran yang dibuat kepada Zahid direkodkan dalam lejar, yang turut mengandungi nama beberapa ahli politik lain.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan memberi keterangan dalam kes Zahid dan mengesahkan kandungan lejar itu, yang disifatkannya sebagai "derma politik".

Anifah, yang merupakan presiden Parti Cinta Malaysia, berkata dia bersedia untuk membantu siasatan.

“Saya bersedia dan mampu membantu sebarang siasatan pihak berkuasa berhubung perkara ini bagi membersihkan nama baik saya,” katanya.