Skip to main
Logo Malaysiakini

Majlis Peguam perinci langkah berdepan polis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Majlis Peguam Malaysia mengeluarkan pekeliling kepada ahlinya tentang langkah berdepan dengan tindakan yang disifatkan sebagai pemahaman yang salah polis terhadap peranan mereka dan undang-undang.

Ia berikutan ketua polis daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata polis akan menyoal siasat semua orang yang terlibat dalam perhimpunan ‘Walk for Justice’ Jumaat lepas.

Sambil menyifatkan kenyataan Noor Delhan sebagai mengelirukan, Majlis Peguam meminta ahlinya supaya tidak bimbang kerana mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ia juga menasihatkan ahlinya untuk memastikan dengan siapa mereka bercakap sekiranya polis menghubungi mereka dan menasihatkan supaya mereka boleh bercakap dengan pihak polis pada masa dan tarikh yang mengikut kesesuaian mereka.

Pekeliling itu menambah bahawa mereka yang ingin disoal siasat perlu memaklumkan kepada sekretariat Majlis Peguam dan peguam harus menemani mereka.

Majlis Peguam berkata bahawa Urgent Arrest Team dari Pusat Bantuan Guaman (Kuala Lumpur) juga akan bersiap sedia.

Pekeliling itu turut memperincikan dokumen-dokumen yang sepatutnya bagi membuktikan bahawa Majlis Peguam Malaysia telah mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Polis sedia maklum bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk melarang protes jalanan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, tetapi mereka telah berbuat demikian,” katanya.

Pada 17 Jun, polis menghalang peguam yang menuntut kebebasan kehakiman daripada berarak dari Padang Merbok ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum.