Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin: Kerjasama PN di Kedah harus dicontohi di negeri lain

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerjasama antara parti Perikatan Nasional (PN) di Kedah sangat kukuh dan harus dicontohi di negeri lain, kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Azmin Ali.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis Bersatu di Alor Setar petang semalam, Azmin berkata dia dijadual bertemu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, daripada PAS, malam tadi.

“Sudah tentulah ia sekali lagi membuktikan betapa kukuhnya kerjasama dalam PN di Kedah ini," kata Azmin seperti dilapor Sinar Harian.

PN kini menguasai 21 kerusi dalam dewan undangan negeri (DUN) Kedah - jauh melebihi 18 kerusi yang diperlukan untuk mentadbir. Terdapat dua Adun BN menyokong Sanusi.

PAS menguasai 15 kerusi DUN Kedah dan Bersatu enam kerusi.

Azmin mendedahkan bahawa akan ada mesyuarat besar PN peringkat kebangsaan, yang akan merangkumi wakil semua pentadbiran negeri yang dikawal PN mengenai persiapan pilihan raya dan pelaksanaan dasar PN.

Selain Kedah, dua lagi negeri yang dikuasai PN ialah Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Azmin berkata lawatannya ke Kedah turut melibatkan pertemuan dengan Ketua Bersatu Kedah Mohd Suhai Abdullah.

Azmin berkata Bersatu Kedah sangat komited untuk bekerjasama dengan PAS.