Skip to main
Logo Malaysiakini

2 syarikat pembalakan diberi waran henti kerja di HSK Nenggiri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mengesahkan kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan berlakunya kes pencerobohan balak yang dikatakan berlaku di kompartmen 25 Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Pengarahnya Abdul Khalim Abu Samah turut mengesahkan JPNK juga mengeluarkan waran pemberhentian kerja pembalakan bagi dua syarikat yang diberi lesen.

Selain itu, katanya, tindakan menyita kayu-kayu balak terbabit juga diambil.

"JPNK sudah menyita kayu-kayan di kawasan hutan berkenaan.

"Dekat kawasan itu ada dua lesen dan kedua-dua lesen itu kami sudah keluarkan waran memberhentikan kerja," katanya kepada media selepas majlis pembukaan Seminar Ekspedisi Saintifik Pergunungan Lojing Kelantan 2022 di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, polis menerima laporan berhubung kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di HSK Nenggiri.

Ia dibuat selepas pendedahan Pengerusi Save Kelantan Husam Musa yang mendakwa berlaku kecurian balak di kawasan berkenaan selain wujudnya pembalakan membabitkan hutan dara.

Kena ikut peraturan

Husam turut mendakwa dua syarikat mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri serta exco diberi lesen menjalankan pembalakan di kawasan tersebut.

Abdul Khalim berkata, kesahihan dakwaan sama ada kawasan hutan itu diceroboh atau sebaliknya sedang dibuat oleh pegawai penyiasat.

Menurutnya kertas siasatan dibuka sehari selepas ia tular di media sosial dan setakat ini JPNK belum mendapat laporan lengkap berhubung dakwaan itu.

"Saya tidak boleh komen lebih-lebih sebab ia akan mengganggu proses siasatan," katanya.

Pada masa sama Abdul Khalim berkata JPNK tidak berniat untuk menyembunyikan apa-apa, sebaliknya hanya mahu memberi ruang kepada penyiasat untuk menjalankan tugas mereka.

Dalam perkembangan sama, dia memberitahu JPNK menolak permohonan daripada pihak tertentu yang memohon permit untuk masuk ke kawasan HSK atas alasan yang sama.

"Sebagai jabatan kerajaan kami kena ikut peraturan dan perundangan. Semua pihak tidak dibenarkan masuk ke HSK tanpa permit," katanya.