'Pelancongan kesukarelawanan': Saya bukan minta orang pergi berpesta - Nazri
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz berkata dia bukannya meminta orang ramai pergi ke kawasan yang dilanda bencana untuk berseronok atau berpesta apabila mencadangkan banjir tahunan negara boleh menjadi sumber "pelancongan kesukarelawanan" atau "voluntourism".
Voluntourism, katanya, merupakan cabang pelancongan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan merujuk kepada mereka yang melancong untuk membantu usaha bantuan bencana seperti membersihkan kampung atau pinggir pantai.
“Ini adalah sesuatu yang telah dilakukan seperti di Haiti dan semua itu, jadi ia bukan perkara baru.
“Di negara kita sendiri, ada orang muda yang sangat empati dan mereka mahu pergi membantu dan menjadi sukarelawan… bawa masuk bekalan, makanan dan sebagainya. Mereka mempunyai wang dan mereka sangat bersemangat.
"Saya tidak meminta orang ramai pergi ke sana untuk berseronok, jadi mereka (pengkritik) perlu mengkaji dan memahaminya (pelancongan kesukarelawanan) sebelum mereka mengatakan saya tidak ada empati, itu sampah," kata Nazri ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Nazri berkata terdapat keperluan untuk menyelaraskan usaha bantuan bencana, khususnya antara pihak berkuasa dan mereka yang bersemangat untuk menjadi sukarelawan dan menghantar bekalan.
Voluntourism adalah satu cara untuk mengatur dan menyelaraskan usaha ini, katanya, terutamanya kerana pihak berkuasa kadangkala melihat sukarelawan sebagai "gangguan" kerana mereka menghantar bekalan ke tempat yang tidak diperlukan dan sebagainya.
Nazri berkata dia telah melakukan perkara ini sepanjang sembilan tahun menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana sebelum ini dan ia diterima baik oleh pihak berkuasa dan sukarelawan.
“Semasa saya menjadi menteri, saya telah melakukan ini... mereka menyelaraskan, mereka mempunyai tempat di mana anda mendaftarkan apa yang anda mahu bawa (dari segi) bekalan, kemudian pihak berkuasa mengarahkan mereka ke mana hendak pergi, supaya tidak ada konflik kepentingan dan pihak berkuasa tidak seharusnya melihat mereka (sukarelawan) sebagai persaingan.
“Jadi, pada saya, jika anda menyelaraskan perkara ini, maka sesungguhnya, anda tidak menghalang keghairahan golongan muda untuk terlibat dalam perkara ini.
“Mereka mahu membantu, jadi pelancongan kesukarelawanan adalah sesuatu yang positif. Kita tidak seharusnya melemahkan semangat mereka,” katanya.
Tambahnhya, voluntourism juga akan membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat yang terjejas akibat bencana kerana sukarelawan tersebut akan tinggal lebih daripada satu hari untuk membantu dan mereka memerlukan tempat tinggal dan makanan untuk dimakan.
“Dari satu segi, jika anda melakukan aktiviti sukarela, ia membantu inap desa ini mendapat pendapatan dan apabila mereka (sukarelawan) datang dalam jumlah yang besar, katering boleh memperoleh sedikit dengan menyediakan makanan untuk mereka.
“Jadi inilah voluntourism yang saya cakapkan, untuk membantu masyarakat setempat.
“Saya tidak bercakap kosong, saya bercakap tentang sektor pelancongan yang membantu semua orang - ia membantu mangsa, sukarelawan, pihak berkuasa, pemilik homestay, penyedia makanan dan sebagainya. Apa yang salah dengan itu?” soal Nazri.
Dia menjawab kritikan daripada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Adun Ketari Young Syefura Othman, yang kedua-duanya menyelar Nazri kerana kenyataan "pelancongan kesukarelawanan".
Syed Saddiq berkata usaha perlu dilakukan untuk menyelesaikan bencana seperti banjir kerana ia menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa, bukannya menjadikan ia sumber pelancongan.
Young Syefura, yang mewakili antara DUN yang paling teruk dilanda krisis banjir di seluruh negara Disember lalu, telah mempersoalkan di manakah empati dan sensitiviti Nazri terhadap isu ini.
Nazri berkata kedua-dua ahli politik muda itu sepatutnya gembira kerana ada golongan seusia mereka yang mahu membantu usaha bantuan bencana.
Nazri juga berkata usaha menggalakkan pelancongan kesukarelawanan harus selari dengan pelbagai kerja tebatan banjir yang telah dilaksanakan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, meskipun ada usaha kerajaan untuk menyelesaikan banjir tahunan terutama di Pantai Timur, bencana alam adalah di luar kawalan manusia.
“Musim tengkujuh di Pantai Timur adalah bencana tahunan yang pasti sepanjang saya ingat, ia bukan fenomena baharu.
"Jika Bumi berkata ia akan banjir setiap tahun, bagaimana anda akan membetulkannya? Adakah anda akan mendapatkan bomoh untuk datang dan menghentikan hujan?
“Bukan mudah, kita telah membina benteng, kita telah mendalamkan sungai dan sebagainya... tetapi jika mereka (Syed Saddiq dan Young Syefura) mempunyai idea yang baik, mereka sepatutnya datang dan memberi idea yang mereka fikir kerajaan belum buat.
"Asalkan bukan untuk memanggil bomoh untuk menghentikan hujan," sindir Nazri.
Sebelum ini, Nazri dipetik sebagai berkata oleh Sinar Daily, bahawa pelancong boleh membantu kerja sukarela semasa banjir.
“Jika anda tahu ia akan datang, maka mulakan perancangan sekarang.
"Mungkin kita boleh mengadakan pelancongan kesukarelawanan di mana orang ramai datang ke negara ini untuk membantu kita menghadapi banjir, dan ia bukan tentang mereka datang ke sini hanya untuk berseronok tetapi untuk mereka juga belajar," katanya ketika itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai