Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga emas rugi lebih setengah juta akibat Macau Scam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang warga emas mengalami kerugian RM652,500 selepas terpedaya dengan penipuan 'Macau Scam', apabila dihubungi seorang lelaki kononnya anggota polis yang mendakwa warga emas itu terlibat dengan pengambilan ubat terlarang dan penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor ACP Amran Md Jusin berkata ia bermula apabila bekas pekerja di sebuah syarikat swasta berumur 68 tahun itu dihubungi lelaki berkenaan yang mendakwa bahawa akaun bank warga emas itu akan disiasat dan diaudit.

"Warga emas itu kemudiannya memindahkan kesemua wang simpanannya berjumlah RM652,500 menerusi 22 transaksi bermula 11 Mei hingga 5 Jun lepas kepada nombor akaun bank tempatan yang diberikan individu itu tanpa usul periksa.

"Dia hanya menyedari dirinya ditipu apabila memaklumkan kepada anaknya sebelum membuat laporan polis di Balai Nusa Bestari, semalam, " katanya dalam kenyataan semalam.

Amran berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan melalui telefon, dan sentiasa menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh JSJK iaitu 'Portal Semak Mule', 'Commercial Crime Investigation Department' (CCID) Scam Response Centre, CCID Infoline dan Facebook JSJK bagi mendapatkan sebarang maklumat mengenai jenayah komersil," katanya.

- Bernama