Skip to main
Logo Malaysiakini

Mansuh jenayah bunuh diri: Kabinet tunggu maklum balas AGC

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jemaah menteri masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan untuk meminda Seksyen 309 bagi kesalahan cubaan membunuh diri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kabinet mahu perkara itu dimuktamadkan oleh AGC terlebih dahulu.

"Kita masih menunggu makluman AGC. Saya telah bangkitkan kepada jemaah menteri untuk kita adakan moratorium (bagi pendakwaan dan sabitan bagi kes di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan).

"Namun, pandangan jemaah menteri mahu biar ia dimuktamadkan di peringkat AGC. Kita perlu dapatkan pandangan terlebih dahulu sama ada bunuh diri akan 'decriminalized' atau sebaliknya.

"Selepas itu (menerima padangan AGC) jemaah menteri akan buat keputusan (mengenai cadangan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan)," katanya pada sidang media di Hotel Eastin di Petaling Jaya hari ini.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, seseorang yang melakukan cubaan membunuh diri boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pada Okt 2021, timbalan menteri kesihatan Aaron Ago Dagang memaklumkan Dewan Rakyat bahawa usaha sedang dilakukan bagi memansuhkan jenayah itu selepas mendapat persetujuan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menyokong usaha untuk memansuhkan jenayah bunuh diri dengan menimbulkan isu kesihatan mental bagi perbuatan itu.