Skip to main
Logo Malaysiakini

Doa Zahid tak bersalah atau siap sedia bersihkan parti - Zahidi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno mesti berdepan pilihan raya umum dalam keadaan "bersih", kata Ahli Majlis Tertinggi Zahidi Zainul Abidin.

Justeru, katanya, parti itu perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan melibatkan perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

"Kes ini (melibatkan Zahid) sekarang dibicarakan (di mahkamah). Kita harap, Umno berdoa supaya presiden kita selamatlah (daripada disabit bersalah).

"Tapi kalau (didapati) bersalah maknanya kita Pemuda Umno semua pun kita pergi cari jalan yang terbaik supaya kita nak pilihan raya kali ni kita masuk dengan keadaan kita bersih.

"Umno yang bersih dan diterima oleh rakyat," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Zahidi, yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia, bercakap kepada media selepas menerima memorandum daripada perwakilan Pemuda Umno berhubung projek rangkaian 5G negara.

Zahid sedang menghadapi dua perbicaraan rasuah berasingan.

Pertama mengenai dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi, dan yang kedua mengenai rasuah dalam Sistem Visa Asing (VLN).

Zahidi diketahui tidak sehaluan dengan Zahid.

Ditanya sama ada pendedahan mengenai pembayaran oleh Ultra Kirana Sdn Bhd dalam kes VLN dibincangkan oleh majlis tertinggi Umno, Zahidi menidakkannya.

Zahidi berkata perkara itu mungkin hanya akan dibincangkan jika ada sebarang keputusan.

Beberapa ahli politik telah dinamakan dalam kes VLN, termasuk tiga pemimpin Umno iaitu, Hishammuddin Hussein, Reezal Merican Naina Merican, dan Khairy Jamaluddin.

Khairy, yang didakwa menerima sehingga RM3.7 juta, menafikan secara peribadi menerima sebarang dana.

Wang itu dikatakan telah dibayar kepada Umno bahagian Rembau di mana Khairy adalah timbalan ketua.

Khairy, Hisham, dan Reezal semuanya berada dalam kerajaan ketika Zahid menjadi timbalan perdana menteri. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dipercayai tidak berada dalam kem Zahid ketika ini.

Sementara itu, ditanya sama ada pilihan raya umum ke-15 perlu diadakan awal, Zahidi berkata lebih cepat lebih baik.

Bagaimanapun, katanya perlu ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan.

“Contohnya sama ada rakyat terima kita, ekonomi ok, lepas Oktober bajet nampak bagus, ada dana, barulah rakyat puas hati dengan kerajaan pimpinan Umno, barulah kita buat pilihan raya cepat.

"Kita perlu melakukannya pada masa yang terbaik," katanya.