Skip to main
Logo Malaysiakini

'Boleh kekalkan Zuraida dalam kabinet tapi jangan ambil kuota Bersatu'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhak mengekalkan Menteri Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dalam kabinet, selagi kuota menteri bagi Bersatu kekal memandangkan Zuraida sudah meninggalkan parti.

Muhyiddin berkata, sudah dua minggu Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan dia masih menunggu tarikh untuk bertemu Ismail Sabri dan membincangkan penggantinya.

"Itu dia (Zuraida) punya harapanlah (untuk kekal dalam kabinet) tapi soal pokoknya PM kena buat keputusan.

"Dan tentulah dia (Ismail Sabri) harus menghormati apa saya sebut tadi, dia nak lantik Zuraida jadi apa pun itu hak dia tapi kuota Bersatu tu dia tak boleh ambil," kata Muhyiddin pada sidang media di Kuala Lumpur selepas menghadiri sesi dialog yang dihoskan oleh Institut Masa Depan Malaysia.

"Manalah tahu dia (Ismail Sabri) nak wujudkan satu kementerian untuk Zuraida jadi apa pun tu hak dia," kata pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu.

Tambah Muhyiddin, dia telah menyediakan nama pengganti Zuraida tetapi masih belum diserahkan kepada Ismail Sabri.

Pada 26 Mei, Zuraida mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan berkata dia akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dengan perdana menteri.

Sebagai maklum balas, Ismail Sabri berkata dia akan memutuskan perkara itu selepas bertemu dengan Zuraida, yang sejak itu dilantik sebagai "bakal presiden" PBM.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin

Sementara itu, Muhyiddin berkata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Azmin Ali telah menghubungi timbalan Zuraida, ahli parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, berhubung permohonannya yang dilaporkan untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Sarawak.

“Saya percaya sekiranya Willie bertemu dengan Azmin dan saya sendiri, kami akan dapat menyelesaikan sebarang perkara berbangkit.

“Kita dah bagi sokongan, jawatan, saya tak faham ada sebab lain,” katanya.

Willie dan Zuraida adalah antara 10 ahli parlimen yang berpaling tadah daripada PKR pada Februari 2020 melalui 'Langkah Sheraton'.