Skip to main
Logo Malaysiakini

PBT mula cari petugas PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-15 masih lagi menjadi tanda tanya kepada banyak pihak, baik kerajaan mahu pun pembangkang.

Kebanyakan pihak menjangkakan pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat tahun ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada awal Jun memberi gambaran bahawa PRU tidak akan dilewatkan walaupun sesaat.

Dari pemerhatian yang dibuat, persiapan untuk PRU ke-15 sudah mula berjalan.

Ini selepas salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang mula mencari petugas untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah seorang pegawai PBT yang dihubungi Malaysiakini juga turut mengesahkan perkara tersebut.

Pegawai terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Izwan dan berkhidmat di Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkata pengambilan bagi petugas SPR atau dipanggil “kerani” itu dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Permohonan bagi petugas SPR ini atau kita panggil kerani dianjurkan oleh MBPJ melalui SPR terus untuk tempoh dua hari iaitu pada hari sebelum mengundi dengan hari mengundian bagi kawasan selenggaraan MBPJ sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Izwan berkata ia terbuka kepada orang awam saja dan bukan untuk kakitangan kerajaan.

Menyentuh soal elaun pula Izwan berkata setiap petugas SPR akan dibayar sebanyak RM365 sehari, namun mereka perlu menjalani kursus bagi melayakkan mereka menjadi petugas pilihan raya.

Tak perlu tunggu tarikh tepat

Sementara itu, dalam satu hantaran di laman sosial Facebook yang dilihat Malaysiakini memaparkan salah seorang pegawai MBPJ sedang mencari individu yang berminat untuk bertugas sebagai petugas SPR.

"Sesiapa yang berminat untuk menjadi petugas SPR sila hubungi saya dengan kadar segera. Saya memerlukan lagi 200 petugas kerana DUN Seri Setia telah menambah lagi 23 saluran. Terima kasih," katanya.

Turut difahamkan pencarian petugas SPR ini dibuat oleh PBT atas kapasiti PBT sebagai penyelaras.

Ia juga adalah amalan biasa yang dilakukan SPR sebagai persiapan menghadapi sesuatu pilihan raya, baik pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya umum.

Pencarian petugas SPR ini juga biasanya akan dibuat sebaik sahaja selesai setiap PRU.

Difahamkan ia dilakukan seawal itu bagi memudahkan proses pencarian petugas SPR tanpa perlu menunggu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pembubaran Parlimen.

Sumber terdekat SPR bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa pencarian petugas SPR itu tidak ada kaitan dengan desas-desus pilihan raya akan diadakan Oktober ini.

Menurut sumber itu lagi pencarian itu lebih kepada kesiapsiagaan kepada PBT terlibat.

Jelasnya taklimat berkaitan kerja-kerja pilihan raya tidak perlu menunggu tarikh tepat pilihan raya akan diadakan kerana mereka tidak akan mempunyai masa jika perlu tarikh muktamad sesuatu pilihan raya sebelum membuat persiapan.

Malah, katanya ia perlu dilakukan selagi ada masa terluang.

Pencarian di laman web SPR mendapati pelantikan petugas pilihan raya dibuat bagi memastikan proses pemilihan sesuatu pilihan raya berjalan lancar di mana mereka akan dipertanggungjawabkan di pusat-pusat mengundi.

Lantikan mereka pula akan dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya.

Manakala kategori petugas SPR pula adalah seperti pembantu pilihan raya (PPR), ketua tempat mengundi (KTM), penyelia pusat mengundi (PPM), kerani pengundian/kerani mengira undi (KP/KMU), kerani penyemak daftar pemilih (KPDP), kerani pengeluaran, pembukaan dan pengiraan undi pos (KUP) dan pemandu arah pusat mengundi (PAPM).

Soal imbuhan pula berdasarkan surat Kementerian Kewangan Malaysia rujukan surat KK/BP/DS(S)221/796/6(SK.1/2012)(18), Perbendaharaan telah bersetuju memberi imbuhan kepada petugas-petugas pilihan raya.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir dan SPR sendiri berhubung perkara tersebut.