PAS Kelantan perlu elak dianggap 'kerajaan batu asas'
WAWANCARA | Kerajaan Kelantan digesa supaya memberikan fokus kepada usaha menyelesaikan projek-projek yang terbengkalai atau mempercepatkan pembangunan sedia ada supaya keluar dari stigma 'kerajaan batu asas'.
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kelantan Syahiran Muhammad berkata PAS wajar sedar bahawa keadaan sekarang sudah berbeza dari waktu dulu.
Katanya jika sebelum ini rakyat Kelantan kurang memberi tumpuan terhadap janji-janji yang ditabur parti berkenaan, kini keadaan sebaliknya berlaku.
"Kita melihat kerajaan negeri seperti menyembunyikan usaha-usaha yang mereka lakukan.
"Banyak projek yang sekadar menjadi acara peletakan batu asas. Memang ada rekod berlangsungnya majlis pecah tanah dan peletakkan batu asas untuk pelbagai projek namun akhirnya tiada perkembangan lanjut," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kota Bharu semalam.
Pun begitu Syahiran mengakui bukan semua projek kerajaan negeri akhirnya terbengkalai begitu saja.
Syahiran berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung prestasi kerajaan PAS Kelantan khususnya selepas lebih 30 tahun parti berkenaan menjadi pemerintah di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Beri keyakinan jadi pemimpin
Mengulas lanjut dia berkata, rakyat Kelantan - khususnya golongan muda - kebelakangan ini semakin peka dan membuka mata dengan melihat prestasi kerajaan semasa dan membandingkannya dengan era Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurutnya ketika Nik Abdul Aziz menjadi menteri besar, orang ramai bersemangat melihat kesungguhan kerajaan menjadikan Kelantan sebagai negeri ditadbir dengan nilai Islam.
Tumpuan rakyat juga katanya terarah kepada hal-hal berkenaan.
"Ketika itu wujud momentum dan semangat untuk membawa Islam menjadikan Kelantan sebuah negeri Islam. Cukup bersemangat walaupun kita tahu pada waktu itu masalah-masalah fasiliti juga wujud.
"Cuma mungkin pada pandangan saya, waktu itu rakyat melihat kerajan PAS masih baru dan mereka nampak kredibiliti Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin," katanya.
Kini tambah Syahiran keadaan berubah dan orang ramai dapat melihat bagaimana tindak balas rakyat dibuat dengan ketara serta lantang apabila melibatkan isu keperluan rakyat yang berlarutan.
Reaksi lantang rakyat Kelantan terhadap PAS juga, katanya, turut disumbangkan oleh hakikat bahawa parti itu sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.
Dalam keadaan begitu pun, menurut Syahiran, rakyat masih dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan negeri yang menyalahkan pihak lain seperti Umno atau BN.
Padahal katanya pendekatan sebegitu tidak wajar dibuat kerana rakyat tahu PAS adalah sebahagian daripada kerajaan bersama Umno-BN sekarang.
"Sepatutnya mereka lebih menjelaskan mengenai usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat.
"Kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan dan jawapan yang menyeluruh untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat," kata Syahiran.
Ditanya apakah pelan tindakan yang perlu diambil kerajaan Kelantan dalam menangani reputasi pentadbiran, jelas Syahiran, pemimpin sepatutnya memberi fokus terhadap projek yang sudah dirancang atau berdepan stigma kerajaan PAS Kelantan adalah 'kerajaan batu asas'.
"Saya lihat kerajaan negeri perlu menyiapkan projek pembangunan yang tergendala supaya meeka tidak dianggap 'kerajaan batu asas'.
"Itu yang perlu diberi keutamaan di samping strategi rangsangan ekonomi yang lain," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai